Sabtu, 21 Disember 2019 | 11:56pm
Pemilik Suhan Movies & Tradings Sdn Bhd, Datuk Rosyam Nor rancang bina kilang mineral di Lanchang, Pahang. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Pemilik Suhan Movies & Tradings Sdn Bhd, Datuk Rosyam Nor rancang bina kilang mineral di Lanchang, Pahang. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Suhan Movies, KPFB perluas operasi hasil air mineral tempatan

KUALA LUMPUR: Suhan Movies & Trading Sdn Bhd serta Koperasi Peserta FELCRA Malaysia Bhd (KPFB) merancang membina kilang air mineral tempatan pertama di Lanchang, Pahang, membabitkan pelaburan awal bernilai RM25 juta.

Pembinaan kilang air mineral RN Mineral Water bernilai RM12 juta itu dijangka akan mewujudkan hampir 300 peluang pekerjaan bagi tempoh awal operasinya yang dijangka bermula pada suku ketiga 2020.

Pemilik Suhan Movies & Tradings Sdn Bhd, Datuk Rosyam Nor, berkata sebanyak 50,000 liter RN Mineral Water dijangka dihasilkan sehari bagi pasaran domestik dan antarabangsa.

Katanya, kilang membabitkan keluasan 70.82 hektar itu dijangka mampu menghasilkan 50,000 liter air mineral sehari bagi pasaran domestik dan antarabangsa, selain dijangka dijual pada harga 80 sen sebotol.

“Ketika ini kita masih menunggu kelulusan kerajaan negeri dan kilang air mineral ini akan menjadi premis patuh syariah pertama di Malaysia, selain pembinaan strukturnya akan menghadap kiblat.

“Kita juga sudah mendapat tawaran memasarkan RN Mineral Water bagi pasaran masyarakat Islam di India dan Amerika Syarikat,” katanya pada sidang media Majlis Makan Malam Perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-38 KPFB di sini, malam tadi.

Terdahulu, Rosyam turut menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) bagi projek penghasilan RN Mineral Water bersama Pengerusi KPFB, Datuk Sabari Misran dan disaksikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun.

Sementara itu, Sabari berkata, kadar dividen KPFB bagi tahun kewangan 2019 dicadangkan lima peratus, membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM586,317.

Katanya, KPFB turut mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.26 juta dengan jumlah janaan urus niaga sepanjang 2019 bernilai RM233.98 juta, selain insentif dibayar RM8.92 juta.

“Jumlah dividen lima peratus ini dicadangkan selepas mengambil kira faktor ekonomi semasa yang diputuskan mesyuarat Ahli Lembaga KPFB dan akan dibawa pada mesyuarat agung tahunan esok,” katanya.

Sebanyak 151 koperasi di bawah KPFB, membabitkan 49,262 ahli akan mendapat manfaat dividen sebanyak lima peratus itu, jika jumlah berkenaan diluluskan esok.

Berita Harian X