Sabtu, 21 Disember 2019 | 3:00pm
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar. NSTP/Faiz Anuar
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar. NSTP/Faiz Anuar

Gaji minimum tinggi beri kesan pada negara

ALOR SETAR: Kerajaan perlu melihat kesan jangka panjang sebelum mempertimbangkan gaji minimum RM1,800 kerana ia akan memberi kesan terhadap pelbagai aspek terutama membabitkan ekonomi negara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata tuntutan yang dibuat Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) itu adalah hak mereka, namun kerajaan perlu memperhalusinya dan menjalankan kajian terperinci.

“CUEPACS meminta sesuatu yang lebih baik untuk kakitangan kerajaan tapi hak kerajaan untuk mempertimbangkan sesuatu yang munasabah dan mampu melonjakkan ekonomi negara.

“Ia termasuk menilai keupayaan kerajaan dan mengambil kira keupayaan majikan di peringkat swasta.

“Sebab itu kerajaan perlukan ‘cermin besar’ untuk lihat masa depan masyarakat bukan hanya kepada golongan pekerja yang bermajikan tetapi individu yang bekerja sendiri,” katanya selepas menghadiri Program Sumbangan Komuniti di sini, hari ini.

Beliau berkata, demikian ketika diminta mengulas kenyataan yang dibuat Presiden Cuepacs Adnan Mat, Khamis lalu, yang meminta agar kerajaan menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,800 sebulan untuk penjawat awam kerana kos hidup pada hari ini semakin meningkat.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kerajaan tidak boleh membuat keputusan drastik kerana ia memberi kesan kepada pihak swasta dan dikhuatiri mereka menutup operasi menyebabkan lebih ramai akan kehilangan kerja.

Katanya, pada dasarnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang berusaha untuk menunaikan manifesto gaji minimum RM1,500.

“Inilah yang kita sedang lakukan iaitu dengan menaikkan gaji minimum secara berperingkat sehingga mencapai RM1,500 dalam tempoh lima tahun pemerintahan PH.

“Seperti yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2020, gaji minimum ditingkatkan pada kadar RM1,200 sebulan di bandar utama berkuat kuasa tahun hadapan,” katanya.

Mengulas mengenai gaji RM1,200, Mahfuz berkata, kerajaan akan mengumumkan pelaksanaannya dalam tempoh suku pertama tahun depan.

Terdahulu, seramai 30 pelajar daripada golongan kurang kemampuan termasuk anak yatim dari Pokok Sena menerima sumbangan baucar RM100 bagi membeli barang kelengkapan sekolah mereka di pasar raya terbabit.

Berita Harian X