Selasa, 17 Disember 2019 | 1:08pm
Kakitangan Media Prima Bhd ada dua pilihan iaitu mendapat pampasan daripada SIP dan jika ada sebab tertentu seperti dibuang kerja tanpa mengikut undang-undang, ia boleh dirujuk pada JPPM bagi membolehkan kes berkenaan dirujuk pada Mahkamah Perusahaan. - Foto arkib NSTP
Kakitangan Media Prima Bhd ada dua pilihan iaitu mendapat pampasan daripada SIP dan jika ada sebab tertentu seperti dibuang kerja tanpa mengikut undang-undang, ia boleh dirujuk pada JPPM bagi membolehkan kes berkenaan dirujuk pada Mahkamah Perusahaan. - Foto arkib NSTP

2 pilihan untuk kakitangan Media Prima diberhentikan

PUTRAJAYA: Kakitangan Media Prima Bhd yang terbabit dalam pemberhentian kerja mempunyai dua pilihan untuk mempertahankan hak mereka, kata Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran.

Beliau berkata, ia termasuk mendapatkan pampasan daripada Skim Insurans Pekerjaan (SIP) atau kes mereka boleh dirujuk kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM).

“Jika disingkirkan kerja, mereka ada dua pilihan iaitu mendapat pampasan daripada SIP dan jika ada sebab tertentu seperti dibuang kerja tanpa mengikut undang-undang, ia boleh dirujuk pada JPPM bagi membolehkan kes berkenaan dirujuk pada Mahkamah Perusahaan.

“Di SIP, sesiapa yang dibuang kerja, kita di kementerian akan mencari jalan supaya mereka mendapat pekerjaan lain dan akan menghantar mereka mendapat latihan atau sebagainya,” katanya selepas Hari Bertemu Pelanggan di kementerian terbabit, di sini, hari ini.

Semalam, BH melaporkan Kumpulan Media Prima Berhad memulakan pelaksanaan pelan rasionalisasi tenaga kerja yang juga sebahagian daripada fasa transformasi perniagaan, seperti yang diumumkan pada 1 November lalu.

Struktur operasi baharu dan senarai nama kakitangan yang terbabit sudah ditentukan selepas beberapa sesi rundingan bersama Kesatuan Sekerja Kakitangan Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Kesatuan Eksekutif Sistem Televisyen Malaysia Berhad, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) Cawangan NSTP dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Akhbar (NUNW) Cawangan NSTP.

Notis rasmi sudah diberikan kepada kakitangan terbabit sejak semalam dan pembayaran pampasan akan dibuat secara penuh selepas proses dalaman dan kawal selia selesai.

Berita Harian X