Jumaat, 13 Disember 2019 | 7:06pm
Sitdek kini sedang dalam perjalanan menuju ke Makkah menggunakan basikal sejak 36 hari lalu, bermula dari Gemas, Negeri Sembilan. - Ihsan pembaca
Sitdek kini sedang dalam perjalanan menuju ke Makkah menggunakan basikal sejak 36 hari lalu, bermula dari Gemas, Negeri Sembilan. - Ihsan pembaca

Kayuh basikal secara solo ke Makkah

SEREMBAN: Seorang warga emas yang sudah beberapa kali melakukan kayuhan basikal jarak jauh, kini menuju Makkah untuk menunaikan haji, membabitkan perjalanan sejauh 15,700 kilometer.

Sitdek Ahmad Ali, 62, yang memulakan kayuhan secara solo di Gemas sejak 36 hari lalu, bersama kibaran dua Jalur Gemilang, tiba di Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini.

Pesara tentera itu dijadual melalui Bangkok, Thailand dan Yangon, Myanmar, sebelum menaiki feri ke Kolkuta, India dan meneruskan kayuhan ke New Delhi; Islamabad, Pakistan; Kabul, Afghanistan; Tehran, Iran; Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan dijangka tiba di Tanah Suci pada Julai tahun depan.

Ketika dihubungi, peneroka FELDA Palong 4, Jempol itu yang melakukan banyak latihan, yakin dapat mengayuh hingga ke Makkah.

Malah, beliau menemui beberapa individu dan kumpulan yang sebelum ini mengadakan ekspedisi jarak jauh untuk mendapatkan nasihat serta mendengar pengalaman mereka.

“Daripada mereka, saya mendapat beberapa panduan berguna selain penggunaan laluan yang sesuai serta selamat, malah mengelak daripada masuk ke kawasan bergolak di sepanjang perjalanan.

“Saya menjangkakan tiba di Makkah pada Julai tahun hadapan dan sempat menunaikan ibadah haji. Sudah tentu saya juga akan menyambut Aidilfitri di negara orang,” katanya.

Sitdek berkata, bagi memastikan keselamatan dan kekal cergas sepanjang perjalanan, beliau hanya mengayuh dari jam 8 pagi hingga jam 4 petang.

“Saya akan berehat dan tumpang tidur di mana-mana masjid, namun jika pihak masjid di mana-mana negara tidak membenarkan orang awam bermalam, saya terpaksa mencari penginapan yang berpatutan,” katanya.

Sebagai persiapan berdepan musim sejuk di beberapa negara, beliau sudah melakukan persediaan seperti membawa pakaian yang sesuai, khemah dan peralatan perubatan lain.

“Pengalaman sebagai anggota bomba sukarela dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjadi bekalan kepada saya untuk mengharungi perjalanan ini dari segi kesihatan, kecemasan dan ikhtiar hidup,” katanya.

Sitdek berkata, demi menaikkan semangat dan mendapatkan sokongan daripada rakyat Malaysia selain mahu mengharumkan nama negara, beliau mengibarkan dua Jalur Gemilang pada basikalnya.

“Biar rakyat di negara yang saya lalui kenal Malaysia dan kita boleh melakukan perkara luar biasa. Saya juga meminta supaya rakyat Malaysia mendoakan semoga saya selamat sampai selain memberi dorongan dan kata-kata semangat,” katanya.

Beliau juga berkata tidak pernah untuk mencari populariti daripada apa yang dilakukannya itu.

“Sebaliknya, rakyat Malaysia sendiri yang banyak memuat naik video serta gambar saya di media sosial. Saya bersyukur kerana sepanjang perjalanan ke Terengganu, mereka banyak memberikan kata-kata semangat,” katanya.

Ogos lalu, Sitdek nekad mencabar keupayaan diri melakukan ekspedisi berbasikal bagi mengumpul dana melaksanakan Misi Kayuhan ke Makkah.

Beliau pernah melakukan kayuhan solo lebih 2,000 kilometer mengelilingi Semenanjung.

Berita Harian X