Khamis, 12 Disember 2019 | 9:33pm

Misi AWETA takluk Antartika bakal bermula

SEPANG: Misi untuk membawa pulang kapsul yang pernah ditanam oleh wirawati negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir ketika misinya menakluk Antartika pada tahun 2004 itu dianggap sebagai satu perkara yang mustahil.

Sharifah Mazlina yang juga ketua misi Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA), berkata beliau menerima berita dari pihak di sana bahawa objek berkenaan berkemungkinan sudah tenggelam atau kini berada di dalam lokasi pusat penyelidikan Amerika Syarikat.

Beliau berkata, zon pusat penyelidikan Amerika Syarikat itu terlalu besar dan berkemungkinan objek berkenaan sudah memasuki zon terbabit selepas 15 tahun ditanam.

"Ketika itu, saya tanam kapsul terbabit satu kilometer dari pusat penyelidikan berkenaan, jadi berkemungkinan ia sudah memasuki kawasan berkenaan. Zon milik pusat penyelidikan itu terlalu besar dan semakin besar.

"Mungkin kita tidak dapat mengambil pun objek terbabit. Namun kita tetap akan pergi ke sana untuk melawat lokasi kapsul itu ditanam serta menangkap gambar dengan kapsul terbaharu yang turut di bawa ke misi kali ini sebagai bukti ia sudah sampai di sana," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan tiga ‘ratu ais’ AWETA ke Antartika.

Turut hadir pada majlis pelepasan berkenaan ialah Penaung AWETA, Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah.

Tiga ratu ais yang dipilih untuk ke Antartika ialah ahli farmasi Nurul Atiqah Tamarun, 31, anggota Tentera Darat Malaysia Koperal Siti Jumaidah Bensali, 34, dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik di Kementerian Dalam Negeri Salehah Abu Nor, 33 tahun.

Ketiga-tiga wanita itu dipilih selepas berjaya mengharungi pelbagai ujian mental dan fizikal yang ditetapkan AWETA sekali gus mengetepikan 1,000 peserta lain sejak penyertaannya dibuka pada 2017.

Sementara itu, mengenai hasrat kumpulan terbabit untuk menanam kapsul masa 2030 di lokasi sama yang dibuat olehnya, Sharifah Mazlina berkata, hasrat berkenaan terpaksa dikuburkan kerana pihak Antartika tidak memberi kebenaran kepada mereka untuk berbuat demikian.

"Saya baru sahaja menerima berita bahawa di bawah akta Antartika mereka tidak membenarkan menanam sebarang objek di sana.

"Namun pihak sana memberi cadangan untuk kita membawa kapsul terbabit dan hanya menangkap gambar ketika tiba di Kutub Selatan berkenaan. Objek itu kemudiannya akan dibawa pulang dan ditunjuk kepada masyarakat di negara ini.

"Di dalam kapsul berkenaan ia diisi tiga pemacu mudah alih (pendrive) iaitu mandat dari Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mandat dari penaung serta dari saya," katanya.

MENTOR AWETA, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (dua, kiri) bersama protegenya (dari kiri) Siti Jumaidah Bensali, Salehah Abu Nor dan Nurul Atiqah Tamarun bergambar bersama Kapsul Masa 2030 yang diberi nama 'Semangat Malaysia Boleh Tun Dr Mahathir Mohamad' sebelum berlepas bagi menjayakan misi negara ke Kutub Selatan mulai 18 Dis sehingga 3 Januari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto BERNAMA
MENTOR AWETA, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir (dua, kiri) bersama protegenya (dari kiri) Siti Jumaidah Bensali, Salehah Abu Nor dan Nurul Atiqah Tamarun bergambar bersama Kapsul Masa 2030 yang diberi nama 'Semangat Malaysia Boleh Tun Dr Mahathir Mohamad' sebelum berlepas bagi menjayakan misi negara ke Kutub Selatan mulai 18 Dis sehingga 3 Januari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto BERNAMA
Berita Harian X