Rabu, 11 Disember 2019 | 11:00am
Universiti awam, swasta gabung, ubah kursus bagi penuhi kebolehpasaran. - Foto hiasan
Universiti awam, swasta gabung, ubah kursus bagi penuhi kebolehpasaran. - Foto hiasan

Isu kebolehpasaran graduan kejuruteraan: Universiti mansuh 55 program

KUALA LUMPUR: Sebanyak 55 program kejuruteraan di universiti tempatan di negara ini digugurkan atas pelbagai faktor, termasuk tiada permintaan daripada pelajar serta kandungan kursus pengajian yang hampir sama di setiap universiti.

Ia juga hasil kesedaran universiti yang mahu menyediakan graduan kejuruteraan yang mempunyai kebolehpasaran serta seiring dengan kemajuan dalam bidang teknologi tinggi semasa.

Mendedahkan demikian, Pengerusi Majlis Akreditasi Kejuruteraan Malaysia (EAC), Prof Ir Megat Johari Megat Mohd Noor, berkata pengguguran 55 program kejuruteraan itu membabitkan lima universiti awam (UA) dan tujuh universiti swasta.

Lima UA berkenaan ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Universiti swasta yang terbabit INTI International University (INTI), Universiti Selangor (UNISEL), MAHSA University, Universiti Multimedia (MMU), University of Nottingham Malaysia (UNMC), Swinburne University dan Manipal International University (MIU).

Beliau yang juga Ahli Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menjelaskan, faktor lain membawa kepada penamatan program yang ditawarkan ialah penggabungan dua atau lebih program yang hampir sama serta perubahan nama program selari dengan perubahan struktur pengajian.

“Sebagai contoh bagi program kejuruteraan elektrik, ada universiti memberikan pelbagai nama, namun dari segi kandungan pengajian dan latihan amali adalah sama.

“Ada pula universiti menyediakan banyak kursus yang perlu diikuti pelajar tapi kita mengesan sekurang-kurangnya hanya lima kursus yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata, LJM dan EAC sebenarnya sudah lama menyedari perkara itu tetapi tidak mahu mengongkong universiti sebaliknya memberi garis panduan untuk menentukan mana-mana kursus yang ditawarkan agar graduan memiliki kebolehpasaran yang lebih tinggi.

“LJM misalnya tidak boleh berkata ‘tidak’ kepada mana-mana universiti kerana setiap institusi mempunyai perancangan tersendiri termasuklah bersama-sama dengan industri. Kami beri kebebasan tetapi dengan kawalan yang ketat,” katanya ketika ditemui BH.

Megat Johari menjelaskan, antara kawalan itu adalah menetapkan 12 ciri dalam pengeluaran seorang jurutera antaranya mesti berasaskan ilmu dalam sains dan matematik serta mampu melaksanakan analisis, reka bentuk dan kewangan.

“Universiti wajib berpandukan kepada 12 ciri ini untuk menghasilkan seorang graduan kejuruteraan dan bagaimana program itu diaturkan, ia ditentukan sendiri oleh universiti,” katanya.

Katanya, beberapa institusi pengajian tinggi sudah memberi fokus menyediakan graduan teknologi kejuruteraan yang mampu memberi impak positif dalam bidang kejuruteraan negara.

“Institusi ini mengurangkan program kejuruteraan, sebaliknya menambah program teknologi kejuruteraan yang dilihat amat diperlukan oleh kebanyakan industri yang beroperasi di Malaysia.

“Perubahan ini membawa kepada keseimbangan nisbah jurutera negara dengan jurutera teknologi yang diperlukan,” katanya.

Ditanya kemungkinan ketiadaan penawaran program berkenaan akan menyebabkan pengeluaran jurutera baharu negara menurun, Megat Johari menjelaskan, LJM tidak melihat perkara itu sebagai penurunan permintaan sebaliknya memberi perkembangan yang baik kepada industri negara.

“Institusi pendidikan negara perlu menentukan kesesuaian program dengan kebolehan dan kelulusan pelajar yang akan mengambil program mereka. “Mereka boleh menjadi yang terbaik apabila pihak industri mampu mengenal pasti program yang sudah menjadi penanda aras pada peringkat dunia,” katanya.

September lalu, BH melaporkan 38 program akademik di 19 universiti awam seluruh negara digugurkan kerana dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan semasa dan masa depan.

Difahamkan, keputusan itu dibuat kerana bidang pengajian pada peringkat sarjana dan sarjana muda terbabit, tidak menjanjikan peluang pekerjaan terbaik kepada graduan sejajar permintaan semasa industri.

Berita Harian X