Jumaat, 6 Disember 2019 | 11:54am
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Kerajaan sasar turun nisbah hutang dan liabiliti - Guan Eng

PUTRAJAYA: Kerajaan dalam jangka masa sederhana menyasarkan untuk menurunkan nisbah hutang dan liabiliti kepada 65 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir 2025, daripada 77.1 peratus pada akhir Jun lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata hutang dan liabiliti itu terdiri daripada hutang langsung, jaminan kerajaan yang ditanggung dan dibiayai oleh kerajaan, hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta obligasi usaha sama awam swasta (PPP) dan Pembinaan BLT Sdn Bhd (PBLT).

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Hutang sudah bermesyuarat dan berbincang mengenai pelan tindakan untuk mengurus hutang dan liabiliti kerajaan, pada Isnin lalu.

“Jawatankuasa menyatakan keperluan untuk mengawal obligasi jaminan kerajaan dan usaha sama PPP bagi mengelakkan pemindahan beban hutang antara generasi secara berlebihan, di mana generasi mendatang akan bertanggungjawab menanggung beban hutang yang sedia ada.

“Jawatankuasa sudah mengesahkan Program Pinjaman Kerajaan Persekutuan 2020, termasuk opsyen untuk menerbitkan satu lagi bon Samurai.

“Tambahan lagi, jawatankuasa sudah meneliti jaminan kerajaan yang sedia ada dan baharu, serta amalan terbaik yang terkini dalam menilai dan memantau liabiliti luar jangka melalui penggunaan teknologi kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan Tinjauan Fiskal Dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020, nisbah hutang dan liabiliti kerajaan menurun daripada 79.3 peratus berbanding KDNK pada akhir 2017, kepada 77.1 peratus pada akhir Jun lalu.

Selain itu, katanya, Kementerian Kewangan ingin memperbetulkan salah faham mengenai hutang luar negeri yang timbul di kalangan orang awam.

“Hutang luar negeri adalah berbeza daripada hutang langsung kerajaan. Hutang luar negeri terdiri daripada pinjaman luar pesisir, deposit bukan pemastautin, serta hutang individu, syarikat dan kerajaan yang dipegang oleh orang bukan pemastautin.

“Hutang langsung kerajaan pula adalah hutang yang diterbitkan oleh kerajaan secara langsung,” katanya.

Tambahnya, seperti yang diterbitkan Bank Negara Malaysia, jumlah hutang luar negeri adalah sebanyak RM931.1 bilion pada akhir Jun lalu.

“Daripada nilai itu, hanya RM190.0 bilion adalah hutang langsung kerajaan.

Tambahan lagi sehingga akhir Jun lalu, hutang langsung telah meningkat sebanyak RM94.1 bilion sejak Pakatan Harapan menerima mandat untuk menjadi kerajaan.

“Jumlah RM94.1 bilion itu telah membiayai perbelanjaan pembangunan, defisit fiskal serta pembayaran balik hutang (termasuk hutang 1MDB),” katanya.

Guan Eng berkata, hutang 1MDB termasuk faedah adalah sebanyak RM50.5 bilion dan ia hanya akan dilangsaikan sepenuhnya pada tahun 2039.

“Sebanyak RM13.9 bilion akan terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan untuk membiayai hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd (SRC) dari 2017 sehingga 2020.

“Jumlah pembayaran RM13.9 bilion untuk 1MDB dan SRC yang dibuat oleh kerajaan langsung adalah kerugian yang ditanggung oleh rakyat Malaysia yang sepatutnya dibelanjakan demi kebajikan negara,” katanya.

Berita Harian X