Khamis, 5 Disember 2019 | 11:27pm
Anwar hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang individu yang kononnya diperlakukan secara tidak senonoh oleh Presiden PKR itu pada 2 Oktober tahun lalu. - Foto fail

Anwar beri tempoh 7 hari kepada Muhammed Yusoff

KUALA LUMPUR: Tempoh tujuh hari diberi kepada Muhammed Yusoff Rawther berhubung dakwaan perlakuan tidak senonoh terhadapnya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam kepada Presiden PKR itu, Ramkarpal Singh, berkata individu terbabit juga diminta membuat penjelasan mengenai surat akuan berkanun yang dikatakan dibuat olehnya.

“Sekiranya dia membuat surat akuan itu, maka tindakan mahkamah atau tindakan sivil akan diambil kepadanya.

“Berdasarkan rekod, pihak berkenaan beralamat di Pulau Pinang dan kita akan memberikan notis ke sana,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Anwar hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan seorang individu yang kononnya diperlakukan secara tidak senonoh oleh Presiden PKR itu pada 2 Oktober tahun lalu.

Menyifatkannya sebagai fitnah tidak berasas, Anwar menyatakan sudah menerima laporan individu yang dikenali sebagai Muhammed Yusoff Rawther melalui media massa dan media sosial.

“Pada tarikh yang didakwa, saya sedang giat menjalankan kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen,” katanya.

Berita Harian X