Khamis, 5 Disember 2019 | 3:53pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. NSTP/Salhani Ibrahim
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. NSTP/Salhani Ibrahim

Kajian keberkesanan cukai minuman bergula pada 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan bercadang menjalankan kajian keberkesanan pelaksanaan cukai atau duti eksais ke atas minuman bergula selepas dua tahun pelaksanaannya pada 2021.

Menteri, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kajian untuk melihat keberkesanan pengenalan cukai itu dalam mengubah tabiat pemakanan rakyat Malaysia akan dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Malaysia.

Ketika ini, kesan pelaksanaan cukai itu dapat dilihat kepada rumusan semula kandungan gula dalam produk minuman oleh syarikat pengeluar minuman.

“Berdasarkan data terkini, sebanyak 17 syarikat pengeluar minuman membuat reformulasi (rumusan semula) meliputi 83 jenis produk minuman manis,” katanya menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Nurul Izzah ingin tahu mengenai pelan holistik kementerian untuk mengurangkan jumlah penghidap obesiti dan keberkesanan pengenalan cukai gula terhadap golongan sasaran sejak 1 Julai lalu dalam mengubah tabiat pemakanan serta penyerapan hasil cukai ke dalam biaya program makanan percuma di sekolah.

Pada 1 Julai lalu, kerajaan mula melaksanakan cukai minuman bergula iaitu duti eksais sebanyak 40 sen seliter ke atas minuman manis yang mengandungi gula atau pemanis berasaskan gula melebihi lima gram bagi setiap 100 mililiter,

Dr Dzulkefly berkata, satu jawatankuasa khas iaitu Jawatankuasa Menangani Masalah Obesiti ditubuhkan dan hasil kerja jawatankuasa itu sebanyak 48 dasar sudah digariskan dan akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh 10 tahun (2016-2025) termasuk cukai minuman bergula.

Kerajaan amat prihatin dengan masalah obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia yang semakin meningkat.

Malaysia berada pada kedudukan teratas dari segi kegemukan di seluruh Asia dan dari segi obesiti kanak-kanak kedua tertinggi dalam kalangan negara ASEAN pada usia lima hingga 19 tahun.

"Sehubungan itu, beberapa pelan tindakan jangka panjang dibentuk bagi menangani masalah membelenggu iaitu Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia III (2016-2025), Pelan Strategik Kebangsaan untuk Penyakit Tidak Berjangkit (2016-2025) dan Pelan Strategik Aktiviti Fizikal Kebangsaan (2017-2025).

Berita Harian X