Selasa, 3 Disember 2019 | 4:53pm
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - NSTP/Saddam Yusoff
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - NSTP/Saddam Yusoff

KBS sedia pelan kecemasan Sukan SEA Ke-30

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia dengan pelan kecemasan bagi mengatasi sebarang kemungkinan membabitkan kontinjen negara sepanjang Sukan SEA Ke-30 di Filipina.

Ia termasuklah, faktor makanan halal, pengangkutan dan lokasi temasya yang akan dikendali Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Sukan SEA Ke-30 menyaksikan penyertaan lebih 8,000 atlet dari 10 negara ASEAN dan Timor Leste, dalam 56 jenis sukan dengan temasya itu yang akan berakhir pada 11 Disember ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menjelaskan KBS sentiasa mengutamakan kebajikan atlet berikutan beberapa masalah yang timbul di temasya berkenaan.

Beliau turut memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kontinjen negara setakat ini berjaya meraih 11 pingat emas.

"Mengenai pemakanan khususnya, masalah kekurangan makanan halal di sana (Filipina). Kontinjen kita ‘diselamatkan’ dengan bantuan pek makanan Brahim’s.

"Kita sudah bawa 500 ke 100,000 bungkusan makanan Brahim's khususnya jika masalah makanan halal ini berterusan. Pagi ini, saya dapat maklum balas daripada pihak kontinjen bahawa masalah makanan halal ini sedang diselesaikan dan keadaan dilaporkan jauh lebih baik berbanding tiga hari lalu.

“Masalah berkaitan pengangkutan juga sedang diselesaikan," katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) berkenaan tindakan kerajaan untuk mengatasi masalah dihadapi kontinjen negara termasuk, kekurangan makanan halal.

Syed Saddiq berkata, wakil pasukan Malaysia juga sudah menyalurkan pandangan mengenai masalah dihadapi atlet negara kepada pihak penganjur Sukan SEA Ke-30, menerusi saluran rasmi.

"Saya ingin berterima kasih dan tahniah kepada pihak MSN kerana tindakan pantas menukar Jalur Gemilang sebelum majlis penyampaian pingat emas membabitkan atlet wushu negara, Loh Choon How, bermula.

"Ini membuktikan pemimpin negara kita sangat proaktif dan segera menyelesaikan isu sebelum ia menjadi masalah besar," katanya.

Sebelum ini, majlis penyampaian pingat itu dilaporkan tertangguh hampir 20 minit, selepas kontinjen negara bersama Chef-de-mission (CDM), Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyedari bendera dibawa keluar penganjur tersalah cetak dan mengarahkan pertukaran dibuat.

Berita Harian X