Isnin, 2 Disember 2019 | 6:36pm
MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu membentangkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA
MENTERI Pertahanan Mohamad Sabu membentangkan Kertas Putih Pertahanan (KPP) pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. - Foto BERNAMA

Jangan hina Kertas Putih Pertahanan - Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berpuas hati dengan teguran dibangkitkan sepanjang sesi perbahasan usul Kertas Putih Pertahanan (KPP) di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohamad berkata, beliau 'senang hati' dengan teguran dibangkitkan wakil rakyat kerajaan dan pembangkang sepanjang sesi berkenaan.

Bagaimanapun beliau menegaskan, KPP tidak seharusnya dihina kerana proses menghasilkan dokumen itu membabitkan beberapa bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bekas Panglima ATM berkenaan ialah, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor; Jeneral Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Seth; Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Mohd Yunus Tasi; Laksamana Madya (B) Tan Sri Abdul Wahab Nawi; Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Abdul Ghani Abdul Aziz; Marsyal Muda Udara (B) Tan Sri Sulaiman Sujak dan Jeneral (B) Tan Sri Panglima Abdul Rahman Abdul Hamid.

"Mereka (pasukan penyediaan KPP) bukan membabitkan ahli daripada mana-mana parti politik dan mereka bertungkus-lumus hampir setahun untuk siapkan KPP.

"Secara umumnya, kritikan diberikan adalah membina dan baik serta saya yakin Panglima ATM (Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin) melihat bagaimana Ahli Parlimen berbahas untuk masa depan negara," katanya menggulung perbahasan KPP di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan usul KPP menerusi undian suara.

Terdahulu, Mohamad ketika membentangkan KPP bertajuk 'Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur' menggariskan peranan utama dan sekunder ATM.

KPP membabitkan lapan mesej utama itu dibentangkan bagi memperbaharui Dasar Pertahanan Negara (DPN), agar strategi dan keupayaannya seiring dan relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan global.

KPP adalah julung kali dibentangkan kepada umum berbanding DPN sebelum ini yang lebih bersifat tertutup. KPP akan menjadi hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 2020 hingga 2030.

Berita Harian X