Isnin, 2 Disember 2019 | 6:20pm
BEKAS Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. NSTP/Mohd Fadli Hamzah
BEKAS Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Pembangkang anggap kertas putih pertahanan tiada `faktor wow'

KUALA LUMPUR: Ketiadaan `faktor wow' atau penarik menyebabkan blok pembangkang mempertikaikan kandungan Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang dibentangkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) berkata, sejujurnya beliau amat menantikan pembentangan kertas putih berkenaan, bagaimanapun selepas menyemak kandungannya yang diedarkan dan selepas mendengar pembentangan menteri, ia amat mengecewakan kerana tiada faktor penarik.

Beliau yang juga bekas Menteri Pertahanan berkata, sebagai contoh, dalam Bab 4 yang menyentuh mengenai senarai hasrat pemilikan aset ketenteraan untuk 10 tahun akan datang tidak diperincikan.

“Tetapi apabila diselak di bahagian pelaksanaan KPP, tidak ada pula perincian kaedah pelaksanaan untuk perolehan aset berkenaan.

"Kita tidak tahu senarai hasrat ini akan jadi satu kenyataan atau tidak.

Penting juga kita tahu perinciannya untuk kita lebih yakin apa yang dibentangkan ini akan menjadi satu kenyataan. Ini boleh menjejaskan hala tuju dan fokus bukan sahaja rakyat tetapi anggota ATM (Angkatan Tentera Malaysia) sendiri,” katanya membahaskan usul KPP.

Mohamad hari ini membentangkan KPP bertajuk 'Malaysia yang Selamat, Berdaulat dan Makmur' di yang antara lain menggariskan peranan utama dan sekunder ATM.

KPP membabitkan lapan mesej utama itu dibentangkan bagi memperbaharui Dasar Pertahanan Negara (DPN), agar strategi dan keupayaannya seiring dan relevan dengan perubahan persekitaran keselamatan global.

KPP adalah julung kali dibentangkan kepada umum berbanding DPN sebelum ini yang lebih bersifat tertutup. KPP akan menjadi hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh 2020 hingga 2030. Kali terakhir dasar pertahanan negara dirumus ialah pada 2006.

Sementara itu, Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang meminta laluan ketika Hishammuddin berbahas, bertanya bekas menteri itu adakah beliau bersetuju kertas putih berkenaan tiada `faktor wow' kerana tiada perincian berhubung jumlah peruntukan dan aset pertahanan yang diperlukan negara.

Hishammuddin mengakui bersetuju dengan pandangan berkenaan kerana tidak menyenaraikan ancaman perairan negara khususnya di Laut Sulu dalam tempoh 10 tahun akan datang dan aset yang tidak lagi sesuai digunakan dan perlu diganti.

Keadaan menjadi panas apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) mencelah dengan mengatakan kerajaan terdahulu tidak pernah membentangkan kertas putih pertahanan termasuk pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 2013.

Ini menyebabkan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) mencelah mengatakan soalan `bodoh' menyebabkan Rayer meminta beliau menarik balik perkataan berkenaan kerana sudah diberi peringatan beberapa kali oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof supaya tidak menggunakan perkataan kesat.

Mohamad Ariff kemudian memberi peringatan kepada semua Ahli Parlimen sama ada blok kerajaan atau pembangkang supaya mengelak mengeluarkan perkataan tidak baik seperti bodoh kerana mereka sudah diberi peringatan sebelum ini.

"Selepas ini siapa yang menggunakan perkataan kesat, saya tidak teragak-agak meminta Ahli Yang Berhormat berkenaan keluar," katanya.

Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) pula menyifatkan kertas putih berkenaan sebagai perancangan yang kurang kukuh dan tidak mencerminkan dasar pertahanan untuk jangka panjang.

Katanya, ia berbeza dengan kertas putih dibentangkan negara jiran yang kukuh dan bertepatan keperluan pertahanan semasa dan akan datang.

"Kertas putih berkenaan seperti melepaskan batok di tangga kerana tiada iltizam politik. Jangankan masa depan, masa kini pun pertahan kita seperti kurang bersiap siaga menghadapi musuh," katanya.

Berita Harian X