Ahad, 1 Disember 2019 | 1:03pm
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah (dua dari kanan) menyerahkan kelengkapan pakaian sekolah kepada penerima pada Program Back To School 2019 di Masjid Hidayatol Solihin, Sungai Baru, Alor Setar. - Foto Noorazura Abdul Rahman
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah (dua dari kanan) menyerahkan kelengkapan pakaian sekolah kepada penerima pada Program Back To School 2019 di Masjid Hidayatol Solihin, Sungai Baru, Alor Setar. - Foto Noorazura Abdul Rahman

Harap isu agihan benih padi, baja subsidi diselesaikan segera - MOF

ALOR SETAR: Kementerian Kewangan (MOF) berharap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dapat menyelesaikan segera isu agihan benih padi dan baja subsidi di Kedah dan Perlis bagi melancarkan kerja-kerja pesawah di negeri berkenaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Amiruddin Hamzah, berkata peruntukan bagi tujuan input pertanian sudah disalurkan kepada MOA seperti kebiasaan setiap tahun namun pihaknya difahamkan terdapat sedikit masalah di peringkat agihan.

“Dalam isu bekalan benih dan baja subsidi, ia sebenarnya tiada masalah di peringkat MOF, kita sudah salur peruntukkan bagi tujuan itu seperti biasa.

“Cuma pengagihan itu sepatutnya disediakan pada kuantiti dan kualiti yang diperlukan, kepada siapa yang memerlukan dan kawasan mana yang perlukan, apabila ia diagihkan pada sasaran yang betul maka masalah ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Back To School 2019 di Masjid Hidayatol Solihin, Sungai Baru di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amiruddin berkata, masalah agihan itu perlu mengikut spesifikasi yang ditetapkan supaya tiada pihak yang boleh mengambil kesempatan.

Katanya, pengagihan yang kurang cekap memberi kesan termasuk ada yang bertindak menaikkan harga benih padi tanpa subsidi sesuka hati.

“Dulu masa agihan benih subsidi belum sampai, harga benih tanpa subsidi pun naik, petani akan terbeban selain rasa bimbang terpaksa menanggung kerugian jika tidak dapat mengikut jadual penanaman .

“Begitu juga dengan agihan baja, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sudah berpengalaman dalam soal itu dan apa saja kemelut dalam NAFAS ia perlu diselesaikan dengan segera kerana ia turut membabitkan lebih 900,000 ahli pertubuhan itu,” katanya.

Khamis lalu, akhbar melaporkan kira-kira 400 pesawah di Perlis runsing apabila baja subsidi masih belum diterima mereka walaupun usia tanaman padi sudah menginjak 40 hari.

Mereka mendakwa, keluaran padi dijangka menurun sekiranya kelewatan baja subsidi diberikan oleh pihak berwajib dalam beberapa minggu lagi.

Berita Harian X