Sabtu, 30 November 2019 | 5:41pm

Silat jadi aktiviti kokurikulum di sekolah, universiti

BATU PAHAT: Seni Silat akan diperluaskan sebagai aktiviti kokurikulum secara berperingkat di sekolah manakala di peringkat universiti ianya dicadangkan sebagai subjek pilihan dengan sistem kredit yang boleh dipindahkan.

Untuk itu, sekurang-kurangnya 5,000 Kelab Silat disasarkan akan diwujudkan di sekolah-sekolah di seluruh negara malah di peringkat luar negara ianya akan dipromosikan melalui Bahagian Pendidikan Malaysia.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata kementerian itu juga mencadangkan agar Silat dijadikan sebagai salah satu kursus TVET yang boleh diberikan sijil seterusnya menjadi satu daripada keperluan untuk menceburkan diri dalam kerjaya berkaitan bidang keselamatan.

Katanya, melalui Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) pihaknya sedang mengusahakan untuk membawa Silat untuk diwartakan sebagai warisan sejarah dunia.

“Semua ini adalah satu berita baik kepada jaguh Silat negara di dalam melahirkan lebih ramai pesilat yang bersedia untuk mengharumkan nama negara pada masa akan datang,” katanya.

Maszlee berkata demikian ketika menutup rasmi Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Seni Silat Seni Asli Terbuka Edisi 10 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dekat sini, hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pendidikan, Mohamad Azhan Md Amir dan Naib Canselor UTHM, Professor Datuk Ts Dr Wahid Razzaly.

Dalam pada itu, sebanyak 70 pasukan bersaing dalam kejohanan edisi ke 10 ini dengan membabitkan 10 pasukan bagi Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa, 27 pasukan kategori IPT Tempatan dan 37 pasukan bagi kategori Silat Seni Asli Terbuka dengan pembabitan enam negara dari Thailand, Singapura, Indonesia, Belanda, Yaman dan Malaysia.

Menurut Maszlee, penganjuran kejohanan ini merupakan salah satu usaha pihaknya untuk menguji pesilat IPT agar dapat diketengahkan sebagai skuad pelapis kebangsaan.

“Ianya juga sebagai memberikan pendedahan dan pengalaman kepada atlet IPT dengan pesilat lain khususnya dari luar negara,” katanya.

Dalam kejohanan ini, Pusat Sukan Tumpuan (PST) Malaysia dinobatkan sebagai juara keseluruhan antarabangsa dengan 11 emas, 2 Perak dan 2 Gangsa.

Manakala, juara keseluruhan IPT Tempatan dinobatkan kepada UITM Elit sebagai juara keseluruhan dengan 12 emas, 2 Perak dan 2 Gangsa.

MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah) bersama pasukan UITM Elit selepas dinobatkan sebagai juara keseluruhan peringkat IPT Tempatan dalam Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Seni Silat Seni Asli Terbuka Edisi 10 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat. NSTP/Adnan Ibrahim
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah) bersama pasukan UITM Elit selepas dinobatkan sebagai juara keseluruhan peringkat IPT Tempatan dalam Kejohanan Pencak Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Seni Silat Seni Asli Terbuka Edisi 10 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat. NSTP/Adnan Ibrahim
Berita Harian X