Khamis, 28 November 2019 | 7:52am
Bendera merah di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan, sebagai tanda amaran kepada pengunjung berikutan ombak besar dan musim Monsun Timur Laut. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Bendera merah di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan, sebagai tanda amaran kepada pengunjung berikutan ombak besar dan musim Monsun Timur Laut. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Tambah papan tanda amaran elak tragedi lemas

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu memasang lebih banyak papan tanda amaran di kawasan ‘panas’ yang menjadi tumpuan pengunjung untuk melakukan aktiviti air bagi mengelak berlakunya kejadian lemas.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut disaran menugaskan lebih ramai anggota bagi memantau aktiviti pengunjung di kawasan seperti sungai, pantai, dan air terjun.

“JBPM boleh letak bendera merah sebagai amaran supaya sesiapa pun tidak boleh masuk di lokasi itu untuk melakukan aktiviti air, manakala papan tanda yang dipasang oleh PBT di kawasan berisiko tinggi perlu menyatakan situasi lokasi yang ingin dikunjungi.

“Sudah sampai masanya untuk semua pihak tidak lagi leka berkenaan soal keselamatan (ketika melakukan aktiviti air) ini kerana ia amat penting,” katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Berdasarkan perangkaan JBPM dari Januari hingga Oktober lalu, kawasan sungai merekodkan kes mati lemas paling tinggi iaitu 109 kes.

“Ia diikuti kes lemas di kawasan pantai dengan 41 kes, kawasan tasik sebanyak 27 kes, manakala kawasan air terjun 11 kes, malah empat kes direkodkan mengenai remaja terjatuh dalam pembetungan.

“Berdasarkan angka ini, kita boleh melihat gambaran sesiapa yang mahu melakukan aktiviti air mesti memahami risiko bahayanya.

“Walaupun seseorang itu mempunyai kemahiran berenang sekalipun, tetapi kalau tidak pandai ‘membaca’ keadaan (air dan cuaca) dengan baik, tidak mustahil dia juga boleh menjadi mangsa dalam kes mati lemas,” katanya.

Sehubungan itu, Lam Thye menasihati masyarakat terutamanya penggemar aktiviti air untuk meneliti keadaan paras air serta cuaca sebelum melakukan aktiviti berikutan musim Monsun Timur Laut, ketika ini.

Beliau turut mengingatkan golongan ibu bapa supaya peka terhadap keselamatan anak ketika berada di kawasan membabitkan aktiviti air termasuk di kelab komuniti yang menyediakan kolam renang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Ikatan berhasrat berkolaborasi dengan Persatuan Penyelamatan Keselamatan Malaysia (LSSM) di Pulau Pinang bagi mengadakan lebih banyak program kesedaran mengenai keselamatan aktiviti air.

“Dengan kerjasama ini, kita harap anggota LSSM boleh membantu Ikatan memberikan khidmat mengajar cara berenang kepada sesiapa terutamanya murid dan pelajar,” katanya.

Ikatan adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan Januari lalu, bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan dan kesihatan dalam pelbagai aspek. – BERNAMA

Berita Harian X