Selasa, 26 November 2019 | 5:13pm
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Kewangan, Lim Guan Eng. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Lebih 3,100 permohonan Dana Rumah Mampu Milik lulus

KUALA LUMPUR: Lebih 3,100 permohonan Dana Rumah Mampu Milik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bernilai RM596 juta diluluskan setakat 31 Oktober lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata BNM dan institusi kewangan mengambil langkah untuk mengurangkan kos sampingan pemilikan rumah bagi membantu pembeli rumah dengan menubuhkan dana berkenaan dengan peruntukan berjumlah RM1 bilion sejak Januari lalu.

Katanya, dana berkenaan membolehkan pembeli rumah pertama terutama golongan muda mendapat pembiayaan institusi kewangan pelaksana melalui kadar pembiayaan konsesi yang lebih murah daripada pasaran semasa iaitu sebanyak 3.5 peratus setahun dan tempoh pembiayaan yang lebih panjang selama 40 tahun atau sehingga umur 70 tahun.

“BNM menambah baik kriteria kelayakan dana RM1 bilion untuk rumah mampu milik yang bertujuan membantu lebih ramai pembeli rumah daripada kumpulan berpendapatan rendah membiayai pembelian rumah pertama mereka, berkuat kuasa 1 September lalu.

“Penambahbaikan yang dilaksanakan termasuk pendapatan maksimum bulanan isi rumah dinaikkan sehingga RM4,360 dan harga maksimum hartanah dinaikkan kepada RM300,000,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai kemajuan yang dicapai BNM untuk membantu lebih ramai berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik.

Guan Eng berkata, bagi pembeli yang tidak berjaya mendapatkan pembiayaan, mereka boleh memanfaatkan Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP) untuk mendapat penjelasan lanjut berhubung sebab permohonan tidak berjaya serta khidmat nasihat untuk meningkatkan kelayakan pembiayaan pada masa hadapan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Hassan yang bertanya sama ada kerajaan bercadang menubuhkan bank khusus untuk membiayai pinjaman perumahan bagi memberi peluang kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) memiliki rumah sendiri, Guan Eng berkata, kerajaan bersedia mempertimbang cadangan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, cadangan itu perlu sesuai dengan syarat yang dikenakan BNM iaitu bank seumpama itu perlu mempunyai dana atau modal mencukupi untuk memenuhi permintaan pinjaman.

“Cadangan akan diambil kira jika BNM berasa perlu untuk membolehkan lebih banyak pinjaman berkaitan perumahan dapat dibiayai tetapi kalau kita lihat trend yang diterima pakai BNM adalah perlu memastikan bank itu dapat memainkan peranan sewajarnya.

“Ia bukan sekadar mempunyai dana atau modal, namun mampu menghadapi segala cabaran dalam pasaran khususnya era digital,” katanya.

Berita Harian X