X
Selasa, 26 November 2019 | 7:33am

Dunia baharu NAFAS, promosi TMM 2020 meriahkan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Status terkini isu kontroversi membabitkan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dijangka menghangatkan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ia terkandung pada soalan pertama dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri yang dibangkitkan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang ingin tahu pembaharuan yang sudah dilakukan pentadbiran baharu NAFAS.

Dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan pula, antara yang menarik perhatian adalah soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang ingin tahu sejauh mana kemajuan yang dicapai Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membantu lebih ramai rakyat berpendapatan rendah memiliki rumah mampu milik.

Soalan lain yang turut disiarkan di laman sesawang Parlimen itu adalah daripada Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu), meminta penjelasan promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 yang dilihat kurang memberangsangkan terutamanya di media massa dan media sosial.

Tidak kurang menarik adalah pertanyaan daripada Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) yang meminta penjelasan jika ada cadangan penguatkuasaan terhadap penggunaan rokok elektronik atau ‘vape’ khususnya dalam kalangan pengguna bawah umur 18 tahun.

Usai sesi itu, tumpuan beralih pula kepada cadangan pembentangan penambahbaikan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis 2019 dan cadangan pengisytiharan harta semua ahli Dewan Rakyat termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Persidangan kemudian terarah kepada perbahasan berkaitan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 berkenaan Belanjawan 2020.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Disember ini. - BERNAMA

Berita Harian X