Selasa, 26 November 2019 | 12:09am
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - NSTP/Azhar Ramli
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - NSTP/Azhar Ramli

18 TNC UA sokong Dr Maszlee

KUALA LUMPUR: Lapan belas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Awam (UA) menyatakan Dr Maszlee Malik menjalankan tugas sebagai Menteri Pendidikan dengan baik dan penuh bertanggungjawab.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka menyatakan undian yang dibuat sebuah portal berhubung cadangan pengguguran menteri itu perlu dipertikai kerana mempunyai motif serta niat yang jahat untuk menjatuhkan kredibiliti Maszlee.

“Kami semua Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UA sebulat suara mempertikaikan dan menolak keputusan undian yang dilaksanakan portal itu dan percaya undian itu mempunyai motif niat jahat untuk menjatuhkan kredibiliti Dr Maszlee,” kata kenyataan itu.

Kumpulan Timbalan Naib Canselor UA itu juga turut menyatakan sokongan penuh kami kepada Maszlee sebagai Menteri Pendidikan

“Kami berharap undian dan tulisan yang cuba menjejaskan kredibiliti beliau tidak akan mempengaruhi apa-apa keputusan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) seandainya rombakan kabinet dibuat pada masa akan datang,” katanya.

Timbalan Naib Canselor yang memberi sokongan itu adalah Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh (Universiti Sultan Zainal Abidin), Prof Ir Datuk Dr Othman A Karim (Universiti Kebangsaan Malaysia), Prof Datuk Dr Yuserrie Zainuddin (Universiti Malaysia Pahang), Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan (Universiti Malaysia Perlis).

Prof Madya Dr Zulkifli Hasan (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Raman (Universiti Malaya); Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman (Universiti Putra Malaysia), Prof Madya Dr Afandi Ahmad (Universiti Tun Hussein Onn Malaysia).

Prof Madya Dr Hendrik Lamsali (Universiti Utara Malaysia), Prof Dr Aldrin Abdullah (Universiti Sains Malaysia), Prof Dr Azizan Abdullah (Universiti Teknologi Mara), Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani (Universiti Sains Islam Malaysia), Leftenan Kolonel Prof Dr Zaliman Sauli (Universiti Malaysia Kelantan).

Prof Madya Dr Raman Noordin (Universiti Malaysia Sabah), Prof Ts Dr Muhd Zuazhan Yahya (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia), Prof Dr Durrishah Idrus (Universiti Teknologi Malaysia), Prof Madya Dr Nurul Fajar (Universiti Teknikal Malaysia Melaka) dan Prof Dr Md Amin Md Taff (Universiti Pendidikan Sultan Idris).

Sementara itu, Othman ketika dihubungi berkata, mereka sepakat untuk membuat kenyataan itu kerana merasakan ketidakadilan berlaku terhadap Maszlee.

“Dalam beberapa isu seperti isu kasut sekolah berwarna hitam, beliau ditanya dalam program dan sudah tentu beliau menjawab perkara itu.

“Malah, beliau sebenarnya sudah melakukan banyak perkara untuk mengubah pendidikan di peringkat sekolah serta pengajian tinggi tetapi isu itu tidak diberi perhatian sebaliknya berdepan dengan isu lain,” katanya.

Berita Harian X