Isnin, 25 November 2019 | 4:40pm
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (kiri) dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (kanan). - Foto NSTP
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (kiri) dan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (kanan). - Foto NSTP

Status Facebook Ka Siong kecohkan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Isu ketidakhadiran Menteri dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang dibangkitkan dalam status Facebook Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, menyebabkan sidang Dewan Rakyat kecoh seketika petang ini.

Ia bermula apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit mencelah perbahasan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sarawak) menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(6) berkaitan sangkaan jahat terhadap Ahli Parlimen, ketika sesi perbahasan Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa kementerian itu pada awal perbahasan.

Rayer mendakwa Ka Siong menggunakan Facebooknya untuk memperlekehkan Dewan Rakyat, sedangkan beliau sendiri tiada dalam dalam dewan ketika sesi perbahasan.

Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) bangkit mempertahankan Ahli Parlimen Ayer Hitam kerana peraturan mesyuarat itu hanya terpakai dalam Dewan Rakyat, sedangkan status Facebook berkenaan bukan dibangkitkan pada sesi perbahasan.

Rayer yang tidak berpuas hati kemudian bertanya Ismail: “Kalau betul tidak memperlekehkan Dewan, di mana Ayer Hitam ketika ini?

“Ayer Hitam tiada dalam Dewan, bagaimana beliau boleh mengatakan tiada menteri dan timbalannya dalam Dewan?”

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) turut mencelah mengatakan usul Rayer bahawa Ka Siong memperlekehkan Dewan Rakyat menggunakan Peraturan Mesyuarat 36(6) tidak masuk akal kerana membawa perkara berlaku di luar ke dalam dewan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming kemudian memberi jaminan akan meminta Ka Siong memberi penjelasan kepada Dewan Rakyat berhubung status Facebook berkenaan, tanpa mengumumkan sebarang keputusan di atas perkara dibangkitkan Rayer.

Ismail kemudian menjelaskan ketika awal perbahasan peringkat Jawatankuasa, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan timbalannya, Steven Sim Chee Keong memang tiada dalam dewan.

Syed Saddiq kemudian mencelah mengatakan beliau berada di luar dewan kerana mengadakan sidang media.

Kor Ming kemudian menerima penjelasan berkenaan dan meminta Lukanisman meneruskan perbahasan.

Dewan Rakyat yang masih ‘panas’ menjadi tenang ketika giliran Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) berbahas apabila mengatakan beliau ‘geram’ dengan’ Menteri Belia dan Sukan dalam banyak perkara, namun perasaan itu hilang ketika Malaysia menewaskan Indonesia 2-0 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Selasa lalu.

“Saya mahu menteri memberikan peruntukan lebih besar untuk program Sukan Untuk Semua’ bagi mewujudkan budaya sukan dalam kalangan rakyat Malaysia. Jika usul ini dikemukakan saya sedia memberikan sokongan,” katanya.

Berita Harian X