Sabtu, 23 November 2019 | 4:06pm
LEE Lam Thye (kanan) melancarkan buku 'Anda Boleh Bantu Cegah Bunuh Diri' di Institut Koperasi Malaysia. Hadir sama Pengerusi Befriends Kuala Lumpur, Justin Victor. - Foto NSTP/Mustaffa Kamal
LEE Lam Thye (kanan) melancarkan buku 'Anda Boleh Bantu Cegah Bunuh Diri' di Institut Koperasi Malaysia. Hadir sama Pengerusi Befriends Kuala Lumpur, Justin Victor. - Foto NSTP/Mustaffa Kamal

The Befrienders lancar buku langkah cegah bunuh diri

KUALA LUMPUR: Kejadian bunuh diri dapat dielak jika orang sekeliling dapat mengesan tanda awal ditunjukkan pelaku dan mengambil tindakan serius untuk mencegahnya sebelum berlaku.

Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata penyelidikan menunjukkan mereka yang membunuh diri biasanya menunjukkan kelainan sikap dan ada di antaranya cuba mendapatkan bantuan sebelum itu.

“Bagaimanapun, mereka sering dilabelkan sebagai orang tidak berguna dan cuma meminta perhatian.

“Lebih menyedihkan, mereka ini kerap disisihkan dan situasi yang mereka hadapi tidak diambil serius kerana ramai dalam kalangan kita memberikan stigma dan kurang kesedaran berkenaan hal berkaitan gangguan mental dan bunuh diri,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Buku Kecil Pencegahan Bunuh Diri anjuran The Befrienders di sini, hari ini.

The Befrienders adalah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Lam Thye yang juga patron The Befrienders berkata, jika ada rakan atau ahli keluarga menyatakan hasrat membunuh diri, rakan atau ahli keluarga perlu meluangkan masa untuk mendengar aduan itu tanpa perlu mengadili tindakan mereka.

“Galakkan mereka mendapatkan bantuan selanjutnya dengan menghubungi talian The Befrienders atau berjumpa pakar kesihatan mental.

“Apabila kita tahu bagaimana untuk menghadapi situasi sedemikian, ia amat membantu dan menerusi buku kecil dwi-bahasa itu, kita harap dapat membentuk lebih banyak kesedaran dan pemahaman dalam kalangan golongan muda berhubung isu bunuh diri,” katanya.

Lam Thye berkata, buku dihasilkan itu bersesuaian dengan golongan muda dan akan diedarkan ke sekolah menengah seluruh negara.

“Buku itu bukan saja bertujuan mengurangkan potensi kejadian bunuh diri, namun ia juga menyediakan pengetahuan asas kepada kita untuk membantu orang yang mempunyai hasrat membunuh diri.

“Kami mengalu-alukan lebih ramai terutama golongan korporat tampil dan menyokong inisiatif ini terutama dari segi penajaan mencetak buku ini untuk diedarkan kepada golongan sasaran,” katanya.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyenaraikan bunuh diri sebagai penyebab kedua kematian membabitkan orang muda berusia di antara 13 sehingga 29 tahun selepas kemalangan jalan raya.

Pada 2020 pula, katanya, masalah mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua terbesar yang akan dihadapi rakyat negara ini selepas penyakit jantung.

Berita Harian X