Khamis, 21 November 2019 | 11:23am
Dr Mahathir menegur sikap Ahli Parlimen yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat sehingga persidangan bermula lewat pagi semalam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Dr Mahathir menegur sikap Ahli Parlimen yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat sehingga persidangan bermula lewat pagi semalam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Tun M tegur MP tak hadir sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegur sikap Ahli Parlimen yang tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat sehingga persidangan bermula lewat pagi semalam.

Perdana Menteri berkata, ini adalah kali kedua korum tidak mencukupi dan beliau akan bercakap dengan Ahli Parlimen terbabit berhubung perkara ini.

“Sebelum pilihan raya mereka sangat berminat menjadi calon, tetapi selepas menang mereka seolah-olah tidak serius melaksanakan tanggungjawab,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2019 (ISWC) di sini, hari ini.

Ketika ditanya adakah kekurangan korum sebagai tanda penentangan terhadapnya, Perdana Menteri berkata, Ahli Parlimen terbabit boleh menyuarakan pandangan secara terbuka jika mereka tidak suka dengan beliau.

Katanya, sebagai pemimpin beliau sedia dikritik dan mahukan kritikan.

Persidangan Dewan Rakyat pagi semalam bermula lewat berikutan korum tidak mencukupi.

Sejurus Datuk Dr Hasan Baharom (PH-Tampin) diminta mengemukakan soalan pertama bagi memulakan sesi pertanyaan lisan, Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) bangkit mencelah pada jam 10.04 pagi menyatakan Peraturan Mesyuarat berhubung korum tidak mencukupi.

Speaker Dewan Rakyat , Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof kemudian mengira bilangan Ahli Parlimen di dalam Dewan dan mendapati hanya 24 orang hadir, berbanding 26 yang diperlukan.

Pada 17 Oktober lalu, situasi sama pernah berlaku apabila jumlah Ahli Parlimen tidak mencukupi sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020.

Mengenai ‘kerajaan pintu belakang’, Dr Mahathir berkata, beliau bersetuju dengan pandangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tiada kerajaan pintu belakang.

“Ya saya setuju dengan pandangan berkenaan, ” katanya.

Berita Harian X