Rabu, 20 November 2019 | 7:00pm
Gambar fail, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah. - Foto Azhar Ramli
Gambar fail, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah. - Foto Azhar Ramli

Indeks FTSE Russell tiada kesan negatif

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan menerima kesan negatif walaupun dikategorikan dalam senarai negara pemerhatian oleh penyedia Indeks, FTSE Russell, September lalu.

Menyuarakan jaminan sedemikian, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah, berkata indeks antarabangsa bagi mengukur kemampuan bon kerajaan itu lazimnya merangkumi negara membangun.

Sehubungan itu, kerajaan melihat percaturan FTSE Russell mengekalkan Malaysia dalam senarai terbabit, sebelum semakan semula bersifat interim dibuat pada Mac tahun depan sebagai pengiktirafan terhadap kedudukan ekonomi negara.

“Malaysia bukan negara membangun yang diletakkan dalam indeks itu, malah ia akan kekal mengikut laporan FTSE Russell sehingga Mac nanti.

“Ia tidak memberi apa-apa kesan, namun kita mengambil langkah bersesuaian termasuk pengukuhan fiskal supaya penarafan, kemampuan pembangunan dan pembayaran hutang berupaya dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

“Kita mahu semua aspek penting ini dibuat secara teratur,” katanya menjawab soalan tambahan dibangkitkan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) berhubung usaha kerajaan mendepani isu Malaysia disenaraikan dalam negara pemerhatian oleh FTSE Russell pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

FTSE Russell pada 27 September lalu dilaporkan berkata, akan mengekalkan bon Kerajaan Malaysia dalam senarai penanda aras Indeks Bon Kerajaan Global (WGBI).

Pasaran bon Malaysia yang paling banyak dimiliki pelabur asing di Asia, justeru segelintir penganalisis pasaran mendapati langkah penyenaraian sedemikian berupaya memberi kesan kepada nilai semasa ringgit.

FTSE Russell turut memaklumkan pihaknya akan melakukan kemas kini selepas semakan interim pada Mac tahun depan, dengan memberikan masa kepada Bank Negara Malaysia (BNM) meneroka lebih banyak langkah meningkatkan kecairannya.

Berita Harian X