Isnin, 18 November 2019 | 3:51pm
Khalid (tengah) bersama wakil pengetua dan guru sekolah pada majlis penyerahan Baucar Bantuan Persekolahan Riang Ria Kembali ke Sekolah Yayasan Wilayah Persekutuan bagi tahun 2019 di Kuala Lumpur. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad
Khalid (tengah) bersama wakil pengetua dan guru sekolah pada majlis penyerahan Baucar Bantuan Persekolahan Riang Ria Kembali ke Sekolah Yayasan Wilayah Persekutuan bagi tahun 2019 di Kuala Lumpur. - NSTP/Khairul Azhar Ahmad

Kerajaan terbuka pewaris bangunkan tanah ikut acuan sendiri

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan terbuka untuk berbincang dengan pemilik dan pewaris Kampung Baru yang berhasrat untuk membangunkan sendiri tanah di situ.

Bagaimanapun, Menterinya, Khalid Abd Samad, berkata ia tidak boleh dilakukan dengan kaedah peruncitan sebaliknya perlu mengikut pelan induk.

Katanya, pewaris boleh memajukan tanah masing-masing dengan pegangan saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) selepas mereka menjual tanah di kawasan itu.

“Saya bersetuju untuk bagi peluang, berjumpa dan berbincang tetapi tanah yang hendak dibangunkan itu tidak boleh atas tanah sendiri kerana sudah ada sistem penempatan. Kita akan cari kawasan yang sesuai untuk bangunkan tanah mereka.

“Dalam pelan induk yang disusun ada 24 ekar (9.6 hektar) tanah yang diasingkan untuk membangunkan Taman Warisan dan ia bernilai RM1 bilion. Tiada pemaju yang sanggup buat tetapi ini adalah pembangunan bersepadu maka boleh dilaksanakan.

“Justeru, kita boleh runding dan berikan pakej namun mereka tidak dibenarkan membangunkan tanah di dalam kawasan Taman Warisan,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Riang Ria Kembali ke Sekolah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Zaizalnizam Zainun.

Selain itu, Khalid juga berharap pihaknya mendapat persetujuan semua pewaris tanah Kampung Baru pada akhir bulan ini.

“Tiada sebab sebenarnya untuk saya tidak mendapat persetujuan mereka kerana rancangan ini memenuhi aspirasi dan visi penubuhan Kampung Baru.

“Saya harap dapat maklum balas daripada pewaris pada akhir bulan ini. Pusingan akhir perbincangan akan dilakukan pada pertengahan tahun depan,” katanya.

Pada 24 Oktober lalu, kerajaan membuat tawaran kepada penduduk Kampung Baru untuk membeli tanah yang terbabit dalam pembangunan semula pada harga RM1,000 satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Berdasarkan harga baharu itu, RM850 adalah secara pulangan tunai dan baki RM150 berbentuk pulangan dalam pegangan saham.

Terdahulu, pada Program Riang Ria Kembali ke Sekolah, Khalid yang juga Pengerusi YWP turut menyerahkan bantuan berbentuk baucar bantuan persekolahan sebanyak RM120 kepada 20,000 murid.

Ia sekali gus melayakkan mereka membeli tiga pasang pakaian sekolah, dua pasang sarung kaki dan sehelai baju putih sukan.

Pusat penebusan terpilih ditetapkan oleh YWP iaitu di mana-mana pusat Starvillion bermula 28 November hingga 31 Januari ini.

Berita Harian X