Sabtu, 16 November 2019 | 5:51pm
Gambar hiasan.

Lebih 700 pemandu Grab dakwa ditamatkan perkhidmatan secara tidak adil

KUALA LUMPUR: Lebih 700 pemandu e-hailing Grab di seluruh negara yang mendakwa ditamatkan perkhidmatan secara tidak adil meminta kerajaan supaya mengiktiraf hak pemandu seperti yang ditetapkan di bawah Akta Kerja 1955.

Kalangan pemandu berkenaan mendakwa mereka ditamatkan perkhidmatan tanpa dikemukakan bukti oleh majikan mengenai kesalahan atau dipanggil membela diri.

Mereka juga meminta supaya kerajaan mewujudkan sebuah tribunal khas perkhidmatan e-hailing kerana buat ketika ini hak antara pemandu dan penumpang adalah tidak seimbang.

Jurucakap Kempen Perlindungan Hak Pemandu E-haling di Malaysia, Ng Kian Nam, berkata pihaknya sudah mengemukakan rayuan daripada pemandu berkenaan kepada Grab namun hanya sebahagian kecil sahaja yang diterima semula bekerja.

Susulan itu, Kian Nam berkata pihaknya mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Kementerian Pengangkutan dan Grab atas dakwaan bahawa hak pekerja diketepikan.

“Hingga kini 740 pemandu Grab ditamatkan perkhidmatan susulan aduan daripada penumpang kononnya memandu secara melulu, mempunyai rekod jenayah dan saman trafik, membatalkan pesanan serta kerap mengambil penumpang yang sama di sesuatu kawasan.

“Namun tiada bukti yang dipaparkan oleh penumpang berkenaan sama ada kesalahan itu benar-benar itu dilakukan oleh pemandu, ...malah pemandu sendiri tidak diberikan peluang membela diri,” katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Pihaknya juga melancarkan kempen bagi mengumpul dana untuk meneruskan prosiding undang-undang terhadap kementerian dan Grab dengan bertemakan ‘setiap orang RM10, berjuang untuk keadilan dan maruah kita’.

Pada masa sama Kian Nam berkata, antara tuntutan yang disenaraikan melalui LOD terbabit ialah meminta kerajaan supaya mengiktiraf hak pemandu e-hailing mengikut Akta Kerja 1955 dan menghalang penamatan pemandu secara tidak adil oleh pengendali e-hailing di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya juga mahu kerajaan campur tangan menangani isu diskriminasi dalam pengambilan pemandu kurang upaya dan warga emas.

Surat kepada kementerian turut menjelaskan mengenai nasib menimpa seorang bekas pemandu Grab, Yip Lai Ching yang mendakwa ditamatkan perkhidmatan secara tidak adil pada 23 Julai lalu.

“Lai Ching yang mengambil lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) pada Jun lalu dipecat oleh Grab berikutan didakwa bertengkar dengan penumpang,” katanya.

Lai Ching didakwa bertengkar dengan penumpang berhubung isu pesanan dibuat individu menggunakan aplikasi Grab melalui akaun orang lain. Bagaimanapun, Lai Ching menafikan tuduhan itu sebaliknya mendakwa penumpang berkenaan yang juga seorang lelaki mengganggunya.

Berita Harian X