Sabtu, 16 November 2019 | 2:20pm
Al-Sultan Abdullah menyampaikan titah diraja sempena Majlis Konvokesyen UMP ke-14, di Kuantan, hari ini. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

UMP perlu memperkasa TVET

KUANTAN: Universiti Malaysia Pahang (UMP) perlu memberi perhatian serius terhadap pembangunan dalam bidang berteraskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi membantu melonjakkan negara ke peringkat lebih tinggi.

Canselor, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bertitah, ia adalah selaras dengan fokus pendidikan tinggi negara ketika ini.

Titahnya, UMP perlu bergerak terkehadapan dalam menjayakan agenda berkenaan yang dilihat memberi peluang kepada universiti berkenaan membina nama di peringkat antarabangsa.

“UMP perlu memberi perhatian serius terhadap pembangunan bidang strategik ini, termasuklah bidang kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).

“Beta yakin melalui kerjasama erat terjalin antara UMP dengan pihak industri dari dalam dan luar negara, berupaya mengukuhkan peranan universiti ini dalam melahirkan modal insan memenuhi keperluan negara dan antarabangsa,” titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Konvokesyen UMP ke-14, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Naib Canselor UMP, Prof Dr Wan Azhar Wan Yusoff.

Seramai 3,782 graduan terbabit dalam majlis konvokesyen kali ini.

Al-Sultan Abdullah dan Wan Rosdy (duduk, tiga dari kiri), Wan Azhar (duduk, kiri) serta Ahli Lembaga Pengarah bergambar bersama penerima anugerah sempena Majlis Konvokesyen UMP ke-14, di Kuantan, hari ini. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Al-Sultan Abdullah menyerahkan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Azriel Tan Zhe Khen pada Majlis Konvokesyen UMP ke-14, di Kuantan, hari ini. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah baginda dimaklumkan universiti itu akan melancarkan Yayasan UMP bertujuan mendapatkan dana bagi membantu penuntut kurang berkemampuan untuk belajar dengan lebih selesa.

“Ia adalah satu usaha mulia dilakukan pihak universiti untuk menyediakan kemudahan kepada pelajar dan beta menyeru dermawan untuk menyumbang kepada yayasan ini bagi kelestarian pembelajaran pelajar.

“Namun, dalam masa sama pihak universiti tidak boleh terlalu bergantung kepada sumbangan sebaliknya perlu mencari rakan strategik baru untuk memastikan mampu bersaing di peringkat nasional dan global,” titahnya.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa syukur dan bangga terhadap pencapaian dan perkembangan UMP dalam pelbagai bidang dan baginda menyifatkan ia adalah hasil tadbir urus yang cemerlang dan perancangan yang holistik.

Berita Harian X