Khamis, 14 November 2019 | 8:35pm
MUHAMMAD Bakhtiar Wan Chik
MUHAMMAD Bakhtiar Wan Chik

Rangka manusia Gua Niah dibawa pulang tahun depan

KUALA LUMPUR: Rangka manusia yang ditemui di Gua Niah iaitu bukti terawal penempatan manusia di Asia Tenggara yang kini berada di Nevada, Amerika Syarikat (AS), dijangka dibawa pulang ke Malaysia, Februari tahun depan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata Jabatan Muzium Sarawak (JMS) kini dalam proses membawa pulang rangka manusia berkenaan ke tempat asalnya di Gua Niah, Miri, Sarawak.

“Sebenarnya, ia bukan ‘Niah Man’ tapi beberapa rangka sekumpulan manusia. Jika proses berjalan lancar, rangka itu dijangka dapat dibawa balik Februari tahun depan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan dikemukakan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) berhubung usaha membawa balik rangka penghuni Gua Niah pulang ke tempat asalnya, sekali gus menjadi tarikan pelancongan di Sarawak.

Bakhtiar berkata, kementerian sedia memberi khidmat nasihat berkaitan cadangan membawa balik rangka manusia Gua Niah itu.

Sebelum ini, kerajaan negeri Sarawak dikatakan berusaha membawa balik rangka manusia itu untuk ditempatkan kembali di gua itu.

Kajian terkini penyelidik mendapati rangka itu berusia dalam lingkungan 65,000 tahun berbanding 40,000 tahun

dalam kajian sebelumnya.

Bakhtiar berkata, Warisan Negara kini bekerjasama dengan kerajaan negeri Sarawak untuk mencalonkan Gua Niah sebagai Tapak Warisan Dunia terbaru.

Berita Harian X