Khamis, 14 November 2019 | 6:30pm
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - NSTP/Azhar Ramli
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - NSTP/Azhar Ramli

KBS tiada cadangan bina litar khas untuk basikal lajak

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak bercadang membina velodrom atau litar khas untuk kanak-kanak dan remaja berlumba basikal lajak.

Sebaliknya, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata, KBS bersedia melatih kanak-kanak dan remaja yang bermain basikal lajak, bagi menjadikan mereka pelapis dan jaguh sukan basikal bagi mewakili Malaysia pada masa depan.

“Saya tidak pernah cakap kita nak bina gelanggang atau litar atau velodrom untuk sukan lajak, banyak salah faham dalam bab ini.

“Bagaimanapun, perkara pertama kita perlu lakukan ialah untuk membimbing kanak-kanak atau remaja terbabit (dalam aktiviti basikal lajak) tetapi bukan menggalakkan mereka terus menunggang basikal lajak.

“Kita kena membimbing kanak-kanak atau remaja berkenaan dan ibu bapa mereka supaya menggalakkan mereka bergiat aktif dalam program pembangunan sukan berbasikal di bawah KBS,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian ketika sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penajaan syarikat insurans FWD Takaful Berhad (FWD) bernilai RM5 juta kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi pembangunan dan persediaan atlet sukan para di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan di sini, sebentar tadi.

Pada majlis berkenaan, MSN diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, manakala FWD diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Salim Majid Zain.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, KBS juga sedia menyediakan laluan khas kepada kumpulan kanak-kanak dan remaja berisiko untuk menyertai program pembangunan sukan berbasikal negara.

“Kita mesti betulkan kenyataan bahawa KBS bukan mahu cungkil bakat mereka dalam basikal lajak tetapi lebih kepada program Junior Cycling Malaysia.

“Kita boleh jadikan cerita Haris Salleh (pelumba basikal Terengganu Cycling Team) yang pernah menyesal kerana terbabit dengan aktiviti sia-sia seperti bermain basikal lajak.

“Bagaimanapun, minat mendalam sukan berbasikal mendorong beliau bergiat aktif dalam sukan basikal lebuh raya sehingga menjadi salah seorang Nasional Heroes dan jaguh basikal terkemuka negara sekarang,” katanya.

Syed Saddiq menegaskan beliau memang tidak setuju dengan aktiviti basikal lajak kerana kebanyakan mereka menunggang dalam gelap, tanpa lampu dan sebarang peralatan keselamatan.

“Kita tidak boleh terima, jadi apa yang kita patut tolong ialah membimbing mereka ke laluan yang betul bukan bersifat menghukum,” katanya.

Berita Harian X