Khamis, 14 November 2019 | 9:59am

Banyak tempat pembiakan Aedes punca Chikungunya

IPOH: Indeks pembiakan Aedes yang tinggi dikenal pasti menjadi punca utama wujud wabak aktif Chikungunya di tujuh lokaliti di daerah Batang Padang.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming, berkata sebanyak 342 bekas positif pembiakan nyamuk Aedes ditemui di kawasan terbabit dalam tempoh 11 September sehingga 12 November lalu.

“Antara tempat pembiakan nyamuk yang ditemui adalah di longgokan sampah haram di lot kosong terbiar, rumah kosong tak berpenghuni, longkang yang tidak diselenggara dengan baik dan tong tadahan air tidak bertutup di dalam dan di luar rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengikut statistik dinyatakan melalui kenyataan itu, daerah Batang Padang mencatatkan 82 kes jangkitan Chikungunya sehingga 12 November lalu.

Dalam tempoh 11 September sehingga 12 November lalu terdapat tujuh lokaliti wabak aktif Chikungunya di daerah berkenaan.

Ia membabitkan 52 kes di Kampung Baru Air Kuning manakala selebihnya di pekan Bidor, Taman Tapah, Taman Tapah Baru, Kampung Baru Kampung Pahang, Taman Orkid dan Taman Daya.

Dr Lay Ming berkata, wabak berkenaan dijangka akan berakhir pada 26 November ini dan sehingga kini tiada kematian dilaporkan berlaku di lokaliti terbabit.

Katanya, Jabatan Kesihatan negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Batang Padang telah melaksanakan pelbagai usaha bagi membendung kejadian demam Chikungunya itu.

“Antara aktiviti dilaksanakan adalah pemeriksaan dan penghapusan tempat pembiakan Aedes di premis persendirian, perniagaan dan tanah lapang.

“Tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan di mana 42 kompaun dan sembilan notis pembersihan mengikut Seksyen 8(1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 telah dikeluarkan terhadap pemilik premis yang membiak Aedes,” katanya.

Beliau berkata, pendidikan kesihatan telah diberikan secara bersemuka dan edaran risalah telah diberikan semasa aktiviti pemeriksaan premis dijalankan oleh PKD.

“Kami juga melaksanakan aktiviti larvaciding, Semburan Ruang Thermal (SRT) dan Semburan Ultra Low Volume (ULV) di semua lokaliti berwabak dan berpotensi wabak di daerah Batang Padang,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti kawalan dan pencegahan akan terus dilakukan di semua tujuh lokaliti di daerah itu bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan penyakit berkenaan.

Katanya, aktiviti gotong-royong telah dirancang dan akan diadakan pada Sabtu ini di Taman Tapah dan Taman Tapah Baru, dan di Kampung Baru Air Kuning, keesokan harinya.

Dr Lay Ming berkata, Jabatan Kesihatan negeri menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan kebersihan persekitaran di sekeliling kawasan tempat kediaman dan segera melakukan aktiviti pembersihan kawasan serta menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di luar atau di dalam rumah.

Pada masa sama, bekas atau tong yang tidak digunakan hendaklah dibuang dengan cara yang betul dan tidak ditinggalkan terbiar sehingga menjadi tempat pembiakan Aedes.

“Individu dan masyarakat diminta melindungi diri daripada gigitan nyamuk dengan memakai pakaian berlengan panjang dan berseluar panjang serta berwarna cerah atau menggunakan repellen (bahan penangkis) apabila berada di luar rumah, terutama pada waktu awal pagi (5 hingga 7 pagi) dan petang (5 hingga 7 petang) iaitu ketika Aedes aktif menggigit.

“Orang ramai juga perlu memberi kerjasama kepada pihak kesihatan ketika aktiviti semburan kabus dijalankan dengan membuka pintu dan tingkap rumah mereka serta memberi kerjasama kepada pihak kesihatan ketika aktiviti pemeriksaan persekitaran,” katanya.

Berita Harian X