Rabu, 13 November 2019 | 5:44pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

7,000 doktor swasta kempunan naikkan caj rawatan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 7,000 doktor klinik swasta negara ini, perlu menunggu lebih lama untuk mendapatkan kebenaran menaikkan caj konsultasi khidmat perubatan ditawarkan mereka, selepas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (MTSHN) mengarahkan kajian baharu terhadap cadangan itu.

Keputusan itu dibuat oleh MTSHN ketika mesyuaratnya semalam. Ia adalah mesyuarat ketiga majlis itu berhubung cadangan penyelarasan caj konsultasi terbabit, selepas dua kali bermesyuarat pada April dan Jun lalu.

Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, memutuskan perlu ada satu lagi kajian terhadap cadangan penyelarasan caj konsultasi itu sebelum boleh dimuktamadkan kerajaan.

Keputusan MTSHN itu nyata sesuatu yang amat sukar diterima oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) kerana caj terbabit dikatakan tidak dinaikkan kadarnya sejak 27 tahun lalu.

Presiden MMA, Dr N Ganabaskaran, berkata persatuan itu berpendapat tiada keperluan untuk kerajaan melakukan kajian baru terhadap cadangan terbabit kerana sebelum ini sudah dua kajian dibuat berhubung kesan penyelarasan caj konsultasi terhadap kenaikan harga.

“Kami berasa amat dukacita dengan keputusan terbaharu ini dan merasakan seolah-olah kami ditindas oleh kerajaan. Kami tidak setuju terhadap keperluan mengadakan satu lagi kajian kerana sudah ada dua kajian sebelum ini melalui mesyuarat MTSHN dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kami amat mengharapkan kerajaan dapat membuat keputusan supaya tidak terus-terusan menghampakan kira-kira 7,000 doktor klinik swasta, ” katanya kepada BH, di sini.

Sebelum ini, BH melaporkan bahawa lebih 70 peratus operasi klinik swasta di negara ini ibarat ‘nyawa-nyawa ikan’ berikutan terpaksa berdepan dengan peningkatan harga ubat dengan caj rawatan atau konsultasi yang tidak berubah sejak 27 tahun lalu.

Melalui laporan itu, doktor klinik swasta meminta kerajaan menyelaraskan caj konsultasi di antara RM10 dan RM35 yang tidak berubah sejak 1992 kepada antara RM30 dan RM125, sama seperti dikenakan di hospital swasta.

Malah melalui sesi ‘townhall’ yang diadakan antara Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dengan lebih 1,000 doktor klinik swasta turut ‘berjanji’ untuk membentangkan sekali lagi kepada Jemaah Menteri hasrat mereka supaya menyelaraskan caj konsultasi yang tertangguh sekian lama.

Dr Ganabaskaran berkata, keengganan kerajaan memutuskan terhadap kadar caj konsultasi baharu itu dikhuatiri memberi kesan lebih buruk kepada mereka termasuk peningkatan jumlah penutupan klinik swasta.

“Kami berasa ini adalah keputusan politik yang amat tidak adil kepada sektor yang sudah menyumbang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan menyediakan lebih 30,000 pekerjaan.

“Susulan keputusan terbaharu ini, kami jangka pihak TPA (syarikat pengurusan perkhidmatan kesihatan pihak ketiga) akan terus mengambil kesempatan dan natijahnya lebih banyak lagi klinik swasta yang akan ditutup dan masa depan yang suram untuk 7000 pemilik dan pengamal perubatan klinik swasta.

“Apabila itu berlaku, ia sekali gus menjejaskan peluang pekerjaan terhadap ribuan lepasan graduan perubatan pada hari ini, ” katanya.

Berita Harian X