Selasa, 12 November 2019 | 7:57pm
Petugas SPR membawa peti undi selepas pusat undi bagi Pengundian Awal sempena PRK P.165 Parlimen Tanjung Piai ditutup pada jam 5 petang di PERKEP, Ibupejabat Polis Daerah Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim
Petugas SPR membawa peti undi selepas pusat undi bagi Pengundian Awal sempena PRK P.165 Parlimen Tanjung Piai ditutup pada jam 5 petang di PERKEP, Ibupejabat Polis Daerah Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim

Karmaine mampu wakili masyarakat Tanjung Piai

PONTIAN: Latar belakang baik termasuk mempunyai ilmu agama memberi kelebihan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, 66, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Beberapa penduduk ditemui di kawasan Pekan Nanas di sini, berkata mereka yakin Karmaine yang berperwatakan sederhana dan kerap menjadi imam, mampu membawa suara mereka ke Parlimen.

Mohamad Yazid, 52, berkata dia tidak pernah bertemu Karmaine sebelum ini, namun mendengar banyak cerita positif mengenainya yang juga anak jati Tanjung Piai.

“Karmaine bukan orang Pekan Nanas, jadi dia mungkin kurang dikenali di kawasan ini, namun kita tahu dia seorang pemimpin yang mempunyai perwatakan baik dan mesra dengan orang ramai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pangkalan Raja, Pekan Nanas di sini, hari ini.

Penduduk, Mohamad Yazid, 52 (kiri) dan Esah Tohak, 78. - Foto Ifwan Tun Tuah
Penduduk, Mohamad Yazid, 52 (kiri) dan Esah Tohak, 78. - Foto Ifwan Tun Tuah

Seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Esah Tohak, 78, berkata dia yakin calon yang memiliki latar belakang agama yang tinggi seperti Karmaine boleh dipercayai untuk mewakili masyarakat kawasan itu.

“Kita dimaklumkan beliau seorang imam dan ahli perniagaan berjaya. Jadi, kita rasa perlu beri peluang kepadanya menjadi wakil rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pekan Nanas, Phang Wee Kiew, 54, berkata beliau mula mengenali Karmaine sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Ketika itu dia beberapa kali datang ke sini untuk berkempen membantu PH. Walaupun ketika itu dia tidak dicalonkan di kawasan ini, kita yakin dia boleh buat kerja,” katanya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pekan Nanas, Phang Wee Kiew, 54 (kiri) dan Ang Hong Phooi, 55. - Foto Ifwan Tun Tuah
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pekan Nanas, Phang Wee Kiew, 54 (kiri) dan Ang Hong Phooi, 55. - Foto Ifwan Tun Tuah

Penduduk Taman Emas Merah Pekan Nanas, Ang Hong Phooi, 55, berkata Karmaine adalah orang lama dalam politik dan bijak mendekati masyarakat.

“Sebenarnya orang kawasan Pekan Nanas lebih kenal Dr Farid (Allahyarham Dr Md Farid Md Rafik) kerana beliau dulu kerap turun padang.

“Kita difahamkan Karmaine juga seperti Dr Farid, jadi kita yakin dia mampu menjalankan tugas dengan baik dan membantu menyelesaikan masalah masyarakat di sini,” katanya.

Berita Harian X