Selasa, 12 November 2019 | 2:24pm

Alibaba rekod jualan RM158.3b dalam tempoh 24 jam

HANGZHOU: Alibaba Group (Alibaba) mencatatkan jualan e-dagang dengan nilai barangan kasar (GMV) 268.4 bilion renminbi (RM158.37 bilion) dalam tempoh 24 jam, meskipun dihimpit kemelut ekonomi global dan perang dagangan Amerika Syarikat-China.

Jumlah transaksi sempena Festival Beli Belah Global 11.11 tahun ini turut menyaksikan syarikat peneraju e-dagang yang berpangkalan di timur China itu mencatat peningkatan jualan sebanyak 25.7 peratus, berbanding rekod 2018 iaitu 213.5 bilion renminbi (RM125.97 bilion).

Fenomena jualan menggunakan platform dalam talian seperti Taobao, Lazada, Tmall, dan Koala, selain berteraskan sistem pembayaran Alipay berkenaan antara lain menyaksikan lebih 220 negara di seluruh dunia membuat pesanan sejuta produk baharu yang didagangkan.

Analisis pengkomputeran Alibaba yang berpangkalan di bandar kelahiran pengasasnya, Jack Ma, menunjukkan Malaysia berada di tangga keenam sebagai negara paling banyak membeli produk dari China menerusi platform e-dagang.

Carta berdasarkan GMV berkenaan merekodkan Russia berada di kedudukan pertama, disusuli Hong Kong, Taiwan, Amerika Syarikat dan Australia, manakala Jepun adalah negara paling banyak menjual produk kepada China.

Presiden Tmall dan Taobao Alibaba Group, Jiang Fan, berkata festival beli-belah tahun ini menyaksikan 160 jenama terkemuka dari seluruh dunia didagangkan pada harga luar biasa untuk manfaat pengguna.

Pendekatan sektor peruncitan baharu menerusi jualan siaran langsung dikenal pasti menjadi penjana utama dan faktor pelaris pelbagai produk, termasuk hasil pertanian serta barangan daripada industri hiliran.

“Sebagai contoh, siaran langsung menggunakan platform Taobao merekodkan jualan GMV 20 bilion renminbi (RM11.8 bilion) dalam tempoh 24 jam, melangkaui rekod dicatatkan tahun lalu.

“Semua hasil sektor pertanian dan produk hiliran dapat dibekalkan secara terus kepada pengguna, justeru jualan menerusi siaran langsung ini adalah platform terbaik ke arah memacu usaha membantu golongan petani.

“Setakat ini, kita dapati jumlah petani yang beralih kepada pendekatan jualan dalam talian, berbanding kaedah konvensional ialah 20 peratus,” katanya pada ucaptama selepas pengumuman nilai dagangan Alibaba, di sini, hari ini.

Pasca kehangatan jualan dalam talian itu, Fan berkata, Alibaba menerusi anak syarikat logistiknya kini menggalas tanggungjawab menghantar 1.29 bilion bungkusan pesanan di seluruh dunia mengikut tempoh waktu ditetapkan.

Sehubungan itu, agenda lain yang diperjuangkan Alibaba dan akan terus diperkasa tahun ini adalah terarah kepada kepentingan mengekalkan kelestarian alam semula jadi, berbanding sekadar memikirkan matlamat meraih keuntungan syarikat.

Berteraskan inisiatif hijau tersendiri, Alibaba bakal menganjurkan program kitar semula bungkusan pesanan dikirimkan kepada pembeli menerusi 75,000 pusat pengumpulan barangan terpakai.

“Cainiao (syarikat logistik Alibaba) dan rakannya bakal mengadakan program ktiar semula semua bungkusan pesanan secara besar-besaran pada 20 November ini.

“Mereka akan mengubahsuai 75,000 lokasi pusat pengumpulan kepada stesen tetap kitar semula, manakala ejen penghantar bakal menggerakkan usaha mengumpulkan semua bungkusan pesanan,” katanya.

Berita Harian X