Isnin, 11 November 2019 | 3:51pm
Datuk K bersama rakannya melawat Ustaz Azhar Idrus di HSNZ, Sabtu lalu. - Ihsan pembaca
Datuk K bersama rakannya melawat Ustaz Azhar Idrus di HSNZ, Sabtu lalu. - Ihsan pembaca

Ustaz Azhar Idrus keluar wad hospital hari ini

KUALA TERENGGANU: Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI) dibenarkan pulang, hari ini, selepas menjalani pembedahan dan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) susulan insiden terjatuh basikal, Isnin lalu.

Seorang kenalan rapat beliau yang hanya ingin dikenali sebagai Man, memaklumkan keadaan UAI bertambah baik dan memuaskan, sekali gus dibenarkan keluar wad hospital pada jam 12 tengah hari tadi.

“UAI sudah pulih, cuma memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya di rumah.

“Beliau ada memberitahu saya bahawa dirinya sudah tidak sabar untuk kembali memberi kuliah di masjid dan surau seperti biasa.

“Selama ini, UAI tidak pernah berehat panjang daripada memberi ceramah tetapi apabila ditimpa ujian ini, beliau memerlukan masa lama untuk berehat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ditanya mengenai gambar UAI bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K yang tular dalam media sosial pula, beliau berkata suami kepada penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu memang sudah lama bercadang melawat UAI.

“Sabtu lalu, Datuk K berkesempatan melawat UAI di wad. Namun, kehadiran beliau tidak disertai isterinya. Terkejut juga saya apabila Datuk K bersama rakannya datang ke wad UAI.

“Datuk K memberitahu kami, beliau ada urusan di Kemaman lalu meneruskan perjalanan ke HSNZ untuk melawat UAI,” katanya.

Beliau berkata, ramai kenalan rapat UAI daripada pelbagai latar belakang turut melawat secara mengejut, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu dan penceramah bebas lain.

“Alhamdulillah, semuanya sudah selesai. Sekarang, UAI akan menyambung rehat di kediamannya pula.

“Kami terpaksa merahsiakan terlebih dahulu lokasi rumah UAI kerana bimbang akan dikunjungi terlalu ramai pengikutnya sehingga keadaan tidak terkawal.

“Apabila UAI sihat sepenuhnya nanti, beliau sendiri akan ke tempat mereka untuk memberi ceramah. Oleh itu, kami berharap peminat UAI bersabar dan memahami situasi beliau sekarang,” katanya.

Man berkata, pihaknya difahamkan bahawa UAI memerlukan masa sekurang-kurang sebulan untuk pulih sepenuhnya sebelum kembali berceramah.

“Sama ada cepat atau lambat tempoh untuk UAI kembali berceramah, bergantung kepada beliau sendiri.

“UAI ada memberitahu saya, beliau sudah bosan berada di katil dan ingin secepat mungkin berceramah seperti biasa,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Isnin lalu, UAI dilaporkan patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Berita Harian X