Sabtu, 9 November 2019 | 7:42am
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai pada Konvensyen Keadilan Pahang di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim di Kampung Peragap, Kerdau, Temerloh, semalam. - Foto ihsan Twitter Anwar Ibrahim

Anwar konsisten juang nasib rakyat

TEMERLOH: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH) tetap kukuh dan berterima kasih kepada sokongan yang diterima.

Beliau menyifatkan mereka adalah sahabat yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bersama dan kini perlu bersama-sama, untuk menterjemahkan semangat itu kepada rakyat.

“Adakah saya sokong Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) sekarang? Ya, supaya keadaan aman dan perubahan berlaku dalam keadaan baik. Tapi dalam perkara yang bawa kebaikan kepada rakyat, kita tetap kena suarakan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Pahang di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim di Kampung Peragap, Kerdau di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Anwar berkata, perjuangan untuk nasib rakyat menyebabkan beliau sering membangkitkan soal kemiskinan dihadapi rakyat, yang perlu ditangani tanpa mengira bangsa, keturunan, agama, jantina dan kedudukan geografi.

Katanya, masalah kemiskinan juga berkait dengan janji PH pada pilihan raya lalu, yang mahu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang semakin tertekan dengan masalah ekonomi negara.

“Kita tidak boleh khianat amanah kerana orang yang menyokong kita, yang percaya kita akan melaksanakan apa yang telah dijanjikan.

“Jika kita tidak lakukan, bagi saya ia adalah satu kesalahan besar,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, mengingatkan ahli PKR khususnya pimpinan parti, untuk sentiasa mengenang perjuangan dan sebab menyertai PKR, supaya tidak mudah lupa diri dengan kuasa diperoleh.

Katanya, penting untuk mereka mengimbau semula sejarah Reformasi 1998 yang menjadi detik permulaan penubuhan PKR, mempertahankan hak semua rakyat Malaysia, melangkaui sempadan kaum.

“Kita kena ingat semula dasar dan matlamat kita. Apakah matlamat kita hanya kuasa? Jadi jika sudah berkuasa adakah kita sudah menang? Bila kita sudah memegang kuasa kerajaan, itu adalah permulaan kepada kita, untuk menterjemahkan cita-cita yang lebih besar.

“Ini bukan untuk kita bergaya lebih hebat atau memakai jam lebih mahal tapi bagaimana kita boleh pastikan rakyat hidup lebih selesa.

“Merdeka daripada kemiskinan dan derita. Selagi ini belum tercapai, maka perjuangan ini harus disemarakkan,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X