Jumaat, 8 November 2019 | 8:15pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Mujahid sedih kematian pelajar 'baru hendak kenal dunia'

KUALA LUMPUR: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa melahirkan rasa sedih dengan kejadian seorang pelajar sekolah tahfiz di Temerloh, maut dipercayai didera rakan-rakannya sendiri.

“Saya rasa sungguh sedih apabila anak yang baru berusia tujuh tahun, baru hendak mengenal dunia menjadi mangsa,” katanya, dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan seorang pelajar sebuah Maahad Tahfiz di Lanchang, Temerloh yang dipercayai didera, meninggal dunia tengah hari semalam semasa mendapat rawatan di sebuah klinik kesihatan.

Pelajar itu ditemui berada dalam keadaan lemah kira-kira jam 1 tengah hari oleh warden asrama yang membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Lanchang bagi mendapatkan rawatan.

Mujahid yakin dengan kecekapan pihak polis dan berharap supaya hasil siasatan yang dijalankan dapat mengetahui punca sebenar kematian kanak-kanak berkenaan.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan.

Sementara itu, Mujahid sekali lagi mengingatkan ibu bapa supaya menghantar anak mereka ke pusat tahfiz atau sekolah pondok yang berdaftar.

Katanya, ia untuk memudahkan kerajaan serta Jabatan Agama Islam Negeri memantau segala kegiatan kokurikulum serta aktiviti yang dijalankan institusi berkenaan.

“Ini bagi memastikan institusi itu mengikut piawaian (ditetapkan kerajaan dan pihak berkuasa) demi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin,” katanya.

Berita Harian X