Jumaat, 8 November 2019 | 6:41pm

Kerjasama MARA Corporation, Lynas bantu capai indeks pertumbuhan

KUALA LUMPUR: Pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corporation) dan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) perlu dilihat dengan paradigma baharu, yang memangkin kerjasama strategik bagi projek bernilai tinggi, sekali gus menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

Presiden Pertubuhan Pedagang dan Peniaga Kebangsaan Malaysia (PERDANA), Datuk Seri Erwan Tahir, berkata Lynas adalah pengeluar bahan nadir bumi terbesar di luar China, yang turut memberi kelebihan peluang kepada Malaysia membangunkan sektor industri hiliran itu.

“Ia adalah satu lagi inisiatif yang semestinya diputuskan secara kolektif oleh barisan Lembaga Pengarah dan pengurusan (MARA Corporation), dengan mengambil kira keuntungan bakal dinikmati kedua-dua pihak serta turut mengambil kira kepentingan negara.

“PERDANA selaku badan bukan kerajaan (NGO) bagi dewan perniagaan mahu memastikan unjuran anjakan ekonomi negara mencapai sasaran.

“Justeru, apa juga inisiatif boleh membantu mencapai indeks pertumbuhan perlu diberi perhatian tanpa ada anasir lain yang membantutkannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, MARA Corporation dan Lynas memeterai perjanjian strategik untuk melaksanakan beberapa projek bernilai tinggi bagi menarik FDI ke Malaysia.

Pengerusi MARA Corporation, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, berkata usaha berkenaan antara lain menjadi pemangkin bagi memastikan kehadiran peserta industri dan pelanggan sektor hiliran di negara ini.

Bagaimanapun, MARA melalui satu kenyataan kemudian menegaskan MoU berkenaan dibuat tanpa kelulusan Majlis MARA dan tindakan MARA Corporation itu tidak selaras dengan ketetapan MARA iaitu sebarang inisiatif baharu perlu mendapat pertimbangan Majlis terbabit.

Akhramsyah seterusnya menafikan dakwaan itu dan memaklumkan pihaknya sudah mendapat persetujuan semua pihak berkepentingan dan mengikut amalan tadbir urus baik, sebelum mengambil keputusan menandatangani MoU berkenaan

Erwan berkata, PERDANA turut optimis dengan elemen dirangka dalam MoU berkenaan dan Lembaga Pengarah MARA Corporation turut memastikan inisiatif pendidikan dan latihan turut diterapkan, selain mewujudkan ribuan pekerjaan baharu.

“Keperluan Malaysia kepada teknologi akan dapat dimanfaatkan dengan jangkaan sehingga 67 peratus penyertaan rakyat Malaysia melalui siswazah teknikal sedia ada, yang akan membawa kepada penurunan peratusan pengangguran yang tinggi dalam negara,” katanya.

Berita Harian X