Khamis, 7 November 2019 | 10:21pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - NSTP/Ramdzan Masiam
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - NSTP/Ramdzan Masiam

Penjimatan subsidi petrol diguna tambah baik pengangkutan awam

PUTRAJAYA: Sebahagian penjimatan daripada program subsidi petrol bersasar boleh digunakan bagi menambahbaik serta menyediakan pengangkutan awam di kawasan luar bandar dan separuh bandar.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia bagi memastikan semua lapisan masyarakat meraih manfaat daripada subsidi pengangkutan kerajaan.

“Saya bersetuju dengan pandangan Dr Muhammed Abdul Khalid (Penasihat Ekonomi Perdana Menteri) bahawa pengangkutan awam di kawasan luar bandar harus diberi lebih perhatian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Dr Muhammed berdasarkan pemerhatian beliau bahawa program subsidi petrol sebelum ini tidak memanfaatkan semua golongan dalam kumpulan B40.

Dr Muhammed yang juga ahli ekonomi antara lain dilaporkan berkata, kerajaan dinasihatkan supaya tidak membelanjakan wang awam untuk mengurang atau menghapuskan tol dan memberi subsidi petrol kerana beliau percaya inisiatif itu tidak akan memberi faedah kepada semua dalam kumpulan B40.

Baginya, wang negara itu perlu diperuntukkan untuk menyedia dan meningkatkan pengangkutan awam di kawasan luar bandar, kerana ini akan membantu lebih ramai rakyat miskin.

Saifuddin berkata, menerusi Belanjawan 2020, pengangkutan awam di kawasan luar bandar dan separuh bandar juga diberi perhatian dengan peruntukan subsidi kepada pengusaha bas bagi menyokong sambungan ‘last-mile’.

Sementara itu, beliau berkata, asas di sebalik program subsidi petrol bersasar yang dibangunkan KPDNHEP adalah berdasarkan prinsip pengagihan semula yang saksama.

“Program subsidi petrol bersasar mengelak ketirisan dengan menyelamatkan peruntukan subsidi pengangkutan daripada diberi kepada penyeludup petrol, warga asing dan golongan T20 yang menggunakan kenderaan dengan kapasiti enjin serta tangki minyak besar.

“Pada masa sama, penerima subsidi petrol daripada golongan B40 dan M40 sedia ada terus dilindungi melalui pemberian subsidi petrol kepada mereka menggunakan kaedah yang lebih bersasar,” katanya.

Berikutan itu, katanya, kos yang diselamatkan dapat digunakan untuk pelbagai inisiatif yang memanfaatkan golongan memerlukan.

“Seperti sedia maklum, peruntukan untuk subsidi dan bantuan sosial dalam Belanjawan 2020 telah ditingkatkan daripada RM22.3 bilion untuk 2019 kepada RM24.2 bilion.

“Ini termasuk penambahan bantuan kebajikan seperti peningkatan elaun anggota bomba, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), pelatih Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta suntikan vaksin pneumokokal secara percuma yang sebelum ini hanya mampu dibeli oleh golongan berada,” katanya.

Berita Harian X