Khamis, 7 November 2019 | 3:34pm
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh (tiga dari kanan) bertanya sesuatu kepada pesakit selepas Majlis Pelancar Awal Klinik Kesihatan Chendering (KKC) di Kampung Kubang Ikan Chendering. - NSTP/Rozainah Zakaria
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohd Jusoh (tiga dari kanan) bertanya sesuatu kepada pesakit selepas Majlis Pelancar Awal Klinik Kesihatan Chendering (KKC) di Kampung Kubang Ikan Chendering. - NSTP/Rozainah Zakaria

Bukan sebab masalah elektrik

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan dakwaan kelewatan pembedahan terhadap penceramah, Ustaz Azhar Idrus, berpunca kerana masalah elektrik di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengarahnya, Dr Mohd Jusoh, berkata laporan yang dikeluarkan oleh sebuah portal itu pada Selasa lalu mendakwa Azhar yang lebih dikenali sebagai UAI terlewat menjalani pembedahan di HSNZ kerana masalah elektrik adalah tidak tepat.

“Bukan kerana masalah terputus bekalan elektrik yang menyebabkan proses pembedahan terhadap tangan kiri UAI itu ditangguhkan.

“Kami menerangkan pembedahan itu akan dijalankan selepas pembedahan elektif (elective surgery) bukan kerana masalah elektrikal atau bekalan elektrik terputus dan kami beranggapan berlaku salah faham dalam isu ini.

“Mustahil untuk HSNZ mengalami masalah terputus bekalan elektrik kerana hospital itu mempunyai banyak tenaga sokongan seperti penjana elektrik yang mencukupi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancar Awal Klinik Kesihatan Chendering (KKC), di sini, hari ini.

Dr Mohd berkata, kelewatan itu juga berlaku kerana Azhar mengalami kepatahan yang kompleks pada bahagian siku kiri sekali gus memerlukan implan khas yang dibawa oleh pembekal dari Kuala Lumpur.

“Justeru, waktu pembedahan yang dijadual pada jam 2 petang terpaksa dianjakkan pada jam 4 petang di bawah seliaan Pakar Perunding Ortopedik HSNZ.

“Berikutan laporan portal itu, HSNZ menjalankan siasatan dan mendapati memang tiada masalah gangguan bekalan elektrik di Dewan Bedah Ortopedik pada hari berkenaan,” katanya.

Mengikutnya, bekalan elektrik di HSNZ sangat penting kerana banyak peralatan perubatan canggih memerlukannya untuk beroperasi dan kebarangkalian untuk HSNZ mengalami gangguan bekalan seperti yang didakwa memang tidak logik.

Isnin lalu, BH melaporkan Azhar patah tangan kiri dan hidung selepas terjatuh basikal ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Pusara di Kuala Terengganu kira-kira 6.30 petang.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika Azhar menyertai kayuhan santai bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah di sekitar bandar raya sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

Berita Harian X