Khamis, 7 November 2019 | 1:06pm

Zahid patut tegur salah laku ketuanya - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sepatutnya celik mata dan menegur salah laku ketua dan pemimpin dalam partinya sebelum ini.

Perdana Menteri turut mengingatkan Ahmad Zahid bahawa punca kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) adalah kerana beliau membiarkan salah laku berleluasa dalam kalangan pemimpin kerajaan dan parti berkenaan ketika itu.

“Masa dulu waktu ada orang curi duit, bos dia curi duit... Dia tak salahkan langsung. Sekarang ini baru nak (mahu) salahkan.

“Pi la (pergilah) balik peringat (ingatkan) diri sendiri kenapa kamu kalah (PRU-14). Kamu kalah sebab kamu tak salahkan bos kamu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Pembangunan Kesenian Kebudayaan) sempena Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) ke-15 di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Zahid, yang ketika berucap dalam ceramahnya di Tanjung Piai malam tadi, mendakwa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Peguam Negara bertindak menyalahgunakan undang-undang sedia ada.

Dalam ucapannya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mempersoal tindakan Mahkamah Majistret Johor Bahru melepas dan membebaskan seorang jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 18 Februari lalu.

“Apabila lapan kanak-kanak main basikal di Johor dilanggar oleh seorang wanita, wanita itu dibebaskan seolah-olah tiada bukti. Kanak-kanak itu mati dan jadi arwah. Ini kerajaan double standard,” katanya

PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif (Pembangunan Kesenian Kebudayaan) pada Istiadat Konvokesyen ASWARA Ke 15 di Panggung Eksperimen, ASWARA. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X