Rabu, 6 November 2019 | 10:28am
GAMBAR fail, Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee. - Foto Mohd Yusni Ariffin
GAMBAR fail, Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee. - Foto Mohd Yusni Ariffin

MAIWP, Majlis Agama Islam Pattani jalin kerjasama

PATTANI (Thailand): Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menjalin kerjasama dengan Majlis Agama Islam Pattani sebagai salah satu usaha untuk menambah baik institusi pendidikan Islam serta menaiktaraf sistem pungutan zakat di selatan Thailand.

Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee, berkata ini kali pertama kerjasama sedemikian dijalin bagi membolehkan kedua-dua majlis agama itu saling membantu memartabatkan kehidupan umat Islam, khususnya di Pattani.

“Pattani pusat pembelajaran Islam yang melahirkan ramai ulama dan sudah bertapak lebih awal dari Malaysia. Jadi kami nak lihat apa yang boleh dipelajari dan ditambah baik dalam institusi pendidikan Islam.

“Pada masa sama, kami menawarkan tempat untuk warga Pattani mengikuti kursus kemahiran pelbagai bidang selama dua tahun di bawah Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) bermula tahun depan.

“Setakat ini, sudah ada dua pelajar, masing-masing dari Indonesia, Brunei dan Singapura mengikuti kursus berkenaan,” katanya.

Delegasi MAIWP mengadakan lawatan kerja selama tiga hari di selatan Thailand termasuk melawat majlis agama, koperasi, sekolah pondok, universiti dan kawasan perkampungan.

Di Pattani, sebanyak 2 juta Baht diperoleh tahun ini hasil kutipan zakat.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, Abdul Rahman Daud, berkata pihaknya berhasrat mempelajari sistem pungutan zakat di Malaysia kerana majlis agama di selatan Thai menggunakan pendekatan berbeza.

“Majlis agama tidak mempunyai kuasa yang penuh. Imam masjid dilantik sebagai amil untuk uruskan zakat dan anak yatim, jadi mereka yang akan agihkan kepada asnaf di kampung masing-masing.

“Kami nak belajar sistem agihan zakat supaya boleh wujudkan baitulmal. Jadi, kes seperti harta yang tidak terwaris boleh dimasukkan di baitulmal dan boleh diagihkan kepada fakir miskin. Mungkin ada perubahan kalau belajar daripada MAIWP,” katanya.

Sehubungan itu, MAIWP berharap Majlis Agama Islam Pattani dapat menghantar wakil mempelajari urus tadbir pungutan zakat menerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP yang kemudian boleh dimanfaatkan di wilayah selatan Thailand itu. – BERNAMA

Berita Harian X