Selasa, 5 November 2019 | 10:20am
Pelajar memasuki dewan bagi menduduki peperiksaan SPM di SMK Tun Perak, Muar. - NSTP/Adi Safri
Pengetua, Razali Sudin (empat dari kiri) memberi kata-kata semangat dan bersalaman dengan pelajar sebelum memasuki dewan bagi menduduki peperiksaan SPM di SMK Tun Perak, Muar. Seramai 267 pelajar mengambil peperiksaan SPM di SMK Tun Perak tahun ini. - NSTP/Adi Safri

50,619 calon duduk SPM di Johor

ISKANDAR PUTERI: Seramai 50,619 calon mula menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) fasa dua di 360 pusat peperiksaan di seluruh negeri ini, bermula hari ini sehingga 28 November.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan, berkata daripada jumlah itu, sebahagian besar iaitu seramai 43,567 orang adalah calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Jumlah selebihnya iaitu 798 orang adalah calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Pusat GiatMara, Sekolah Agama Kerajaan Negeri (138 calon), sekolah swasta (3,807 calon) dan persendirian (2,219 calon).

“Selain itu, seramai 186 orang adalah Calon Berkeperluan Khas (CBK) termasuk kategori masalah pembelajaran, penglihatan, kurang upaya pelbagai, pertuturan, pendengaran dan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan petugas yang mengurus dan mengendalikan SPM di negeri ini adalah 3,727 orang yang merangkumi penyelia kawasan, ketua pengawas, pengawas dan pengemas bilik.

Sementara itu, mengenai kemungkinan banjir di pusat peperiksaan, beliau berkata calon yang terjejas boleh menumpang pusat peperiksaan berhampiran kediaman mereka.

Berita Harian X