Isnin, 4 November 2019 | 7:38pm
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

Kenyataan berbeza sebab salah faham - Mohamaddin

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi menjelaskan berlaku salah faham berhubung isu membawa pameran makam dan artifak Firaun Mesir, Ramses II, dan Tutankhamun, sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Katanya, perbezaan kenyataan yang timbul antara beliau dan timbalannya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik sebelum ini disebabkan kelewatan maklumat yang diterimanya.

“Sebenarnya, saya sendiri menandatangani surat meminjam (pameran) firaun untuk didatangkan ke Malaysia. Masalahnya apabila mendapat kelulusan, saya tidak diberitahu oleh Ketua Pengarah Jabatan Muzium.

“Apabila saya tidak diberitahu ia sudah lulus (kebenaran dari Mesir), bermakna saya tidak tahu sama ada mahu menjawab ya atau tidak tempoh hari (apabila ditanya wartawan),” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab celahan Awang Hashim (PAS-Pendang) mengenai tujuan kerajaan membawa masuk pameran terbabit dan apa kaitannya dengan Malaysia.

Mohamaddin sebelum ini menafikan kenyataan timbalannya yang menyatakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya merancang menganjurkan pameran makam dan artifak Firaun Mesir, Ramses II dan Tutankhamun yang lebih dikenali sebagai Raja Tut tahun hadapan.

Beliau menegaskan tiada sebarang bentuk kelulusan Kabinet bagi membawa pameran itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Mengulas lanjut Mohamaddin menjelaskan pameran itu merangkumi sejarah tamadun, nabi dan nilai moral yang tinggi serta kehebatan manusia.

“Bagaimana kita merancang untuk membawa masuk pameran ini adalah berdasarkan tajaan melalui syarikat (swasta) yang berminat. Buat masa ini, pameran itu belum mendapat kelulusan Kabinet,” katanya.

Berita Harian X