Isnin, 4 November 2019 | 5:29pm
YEO Bee Yin menjawab soalan media pada sidang media selepas menjawab di dalam persidangan Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin
YEO Bee Yin menjawab soalan media pada sidang media selepas menjawab di dalam persidangan Dewan Rakyat, Parlimen. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Pupuk minat generasi muda terhadap STEM

PUTRAJAYA: Minat generasi muda mempelajari ilmu dalam bidang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menunjukkan penurunan yang membimbangkan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, berkata jika perkara itu berterusan dan

tidak dipandang serius, negara akan terus kehilangan modal insan berbakat dalam bidang STEM yang diperlukan industri serta masa depan.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama antara pihak universiti dan industri menjadi keperluan amat kritikal dan sangat diperlukan untuk pembangunan ekonomi negara.

Katanya, pihak universiti dan industri perlu menyokong usaha kerajaan mengubah budaya masyarakat kini supaya melihat STEM sebagai satu bidang penting untuk masa depan.

“Kerjasama dan pembabitan pelbagai pihak semua peringkat daripada sekolah rendah hingga universiti, seterusnya industri perlu untuk menanam minat generasi muda dalam bidang pendidikan STEM.

“Tanpa STEM, tidak dapat saya bayangkan bagaimana kita menghadapi hidup masa kini dan dunia serba moden serta canggih kerana perkembangan yang kita hadapi ketika ini sangat berkait rapat dengan STEM.

“Kita mahu generasi muda memiliki asas dalam bidang pendidikan STEM supaya mereka boleh menjadi ejen penemuan sains dan teknologi masa depan.

“Negara lain agak ke hadapan dalam usaha menanam minat terhadap bidang pendidikan STEM dalam generasi muda mereka, sekali gus menjadikan industri dan ekonomi mereka lebih produktif,” katanya pada majlis perasmian Forum Pengurusan Universiti Berkaitan Kerajaan (GLU) 2019 di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Sains, Teknologi dan Inovasi) kementerian itu, Dr Mohd Nor Azman Hassan.

Sementara itu, Bee Yin berkata, sebagai menteri, beliau mahu mewujudkan ekosistem lengkap bagi menyokong pembangunan menerusi inovasi.

“Dasar dan program lengkap perlu dalam mendepani cabaran berkaitan sains dan teknologi yang akan kita hadapi. Sepanjang tahun ini, sebanyak 150 pelan tindakan sudah dilaksanakan untuk menyokong tiga sektor di bawah bidang kuasa kementerian ini,” katanya.

Berita Harian X