Ahad, 3 November 2019 | 2:26pm
SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin melihat hasil kraftangan di tapak pameran pada Program Perjumpaan Sultan Selangor dengan Masyarakat Orang Asli di Pulau Carey, Banting, hari ini. - Foto BERNAMA
SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin melihat hasil kraftangan di tapak pameran pada Program Perjumpaan Sultan Selangor dengan Masyarakat Orang Asli di Pulau Carey, Banting, hari ini. - Foto BERNAMA

Kaji semula peruntukan kepada JAKOA Selangor - Sultan Selangor

BANTING: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu peruntukan sewajarnya disalurkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur dan modal insan serta kebajikan Orang Asli di negeri ini.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda difahamkan peruntukan kepada JAKOA Selangor diturunkan setiap tahun mulai 2017.

Justeru, titah baginda, penurunan peruntukan itu perlu dipandang serius dan dikaji semula oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri supaya peruntukan mencukupi serta dapat digunakan untuk pembangunan masyarakat Orang Asli.

“Dalam usaha kita membangunkan masyarakat Orang Asli ini, kerajaan perlu memberi peruntukan sewajarnya kepada JAKOA Selangor untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur dan modal insan serta kebajikan masyarakat itu.

“Beta berharap agar kepentingan Orang Asli sentiasa dipelihara dan tumpuan harus diberikan kepada pembangunan asas Orang Asli,” titah baginda pada Program Perjumpaan Sultan Selangor dengan Masyarakat Orang Asli di Pulau Carey di sini, hari ini.

Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Sultan Selangor juga bertitah supaya tanah seluas 584.85 hektar yang dirizab dan diwartakan oleh kerajaan Selangor untuk penempatan dan kegunaan masyarakat Orang Asli di Pulau Carey dimanfaatkan untuk kemajuan dan kesejahteraan masyarakat itu.

Titah baginda, JAKOA diharap dapat membantu dan membimbing masyarakat Orang Asli menjalani kehidupan harian dan sama-sama menikmati pembangunan negeri.

Baginda juga berkenan agar kerajaan dapat memastikan keperluan asas masyarakat Orang Asli seperti jalan, air, elektrik, klinik kesihatan dan sekolah disediakan dengan baik dan sempurna.

“Beta percaya kehidupan masyarakat Orang Asli di Pulau Carey sudah berubah dan sama-sama menjalani kehidupan moden walaupun adat dan tradisi lama masih dikekalkan. Beta menyeru masyarakat Orang Asli supaya dapat mengatur kehidupan mereka dengan lebih baik.

“Bagi mereka yang minat bertani, diharap dapat menjalankan usaha pertanian dengan tekun dan terancang. Beta juga difahamkan ramai masyarakat Orang Asli yang mempunyai bakat dalam pembuatan kraf yang boleh diketengahkan dan dijadikan sebagai satu perusahaan bagi menambah pendapatan.

“Dalam hal ini, beta berharap JAKOA serta Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya dapat membantu melaksanakan aktiviti yang berkenaan,” titah baginda.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya, berkata kerajaan negeri mewujudkan Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asal Negeri Selangor selepas dimaklumkan EXCO Selangor, Hee Loy Sian, bahawa JAKOA menyatakan peruntukan untuk masyarakat Orang Asli bagi 2019 hanya tertumpu di Perak dan Pahang.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju jawatankuasa itu diwujudkan dan bagi tahun 2020, sejumlah RM500,000 diperuntukkan bagi tujuan pembangunan modal insan dan kebajikan seperti membaik pulih rumah, projek pembangunan infrastruktur, peningkatan kesihatan dan ekonomi Orang Asli.

“Kerajaan Selangor turut meneruskan Biasiswa Sagong Tasi untuk anak Orang Asal di sekolah menengah yang memenuhi kriteria yang ditetapkan. Pentadbiran ini akan memastikan usaha pembangunan di negeri ini dilaksanakan secara seimbang dan menyeluruh,” katanya.

Berita Harian X