Sabtu, 2 November 2019 | 4:55pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa di tapak pameran Malaysia di Pusat Pameran Komuniti ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35. - Foto BERNAMA
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa di tapak pameran Malaysia di Pusat Pameran Komuniti ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35. - Foto BERNAMA

PM lawat pameran Komuniti ASEAN

BANGKOK: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan kira-kira 40 minit di tapak pameran Malaysia di Pusat Pameran Komuniti ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35.

Beliau yang diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Pengarah Sektor ASEAN & Oceania Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman, tiba di tapak pameran itu jam 10.15 pagi tadi, sebagai tanda sokongan kepada Promosi Kempen Melawat Malaysia Tahun 2020.

Sebanyak 17 syarikat tempatan menyertai pameran yang bertemakan ASEAN STYLES: Sharing the Future ini anjuran Jabatan Promosi Perdagangan Antarabangsa, Kementerian Perdagangan Thailand bermula hari ini hingga Isnin.

Pameran itu membabitkan produk kraftangan seperti pewter, batik, songket, makanan dan perkakasan kelengkapan rumah.

Antara syarikat yang menyertai pameran itu ialah Royal Selangor International Sdn Bhd, Pensonic Industries Sdn Bhd, Bujins L Batik Sdn Bhd, Tanoti Sdn Bhd, Aik Chong Coffee Roaster Sdn Bhd, Owl International Limited, Julies Manufacturing Sdn Bhd, dan Kraftangan Malaysia.

Mengikut kenyataan media MATRADE, mereka dan Tourism Malaysia memanfaatkan kehadiran ribuan delegasi sidang kemuncak itu bagi mempromosi produk dan perkhidmatan tempatan.

“MATRADE menerusi pejabatnya di Bangkok membantu mempamerkan pelbagai produk buatan Malaysia dan yang terdapat di Thailand manakala Tourism Malaysia pula mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020. Kempen ini bukan saja menarik delegasi negara anggota ASEAN serta pemain industri pelancongan negara berkenaan.

“Malah, pameran ini juga strategik bagi Malaysia untuk mempamerkan produk inovasi kepada negara anggota ASEAN sekali gus menarik minat pelancong datang ke Malaysia pada tahun hadapan,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, pada sebelah petang, Dr Mahathir menghadiri sesi pleno yang akan membincangkan agenda “Advancing Partnership for Sustainability” dan hubungan luar dan hala tuju masa hadapan ASEAN serta isu serantau dan antarabangsa.

Beliau kemudiannya mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha sebelum menyaksikan majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara ASEAN dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Berita Harian X