Sabtu, 2 November 2019 | 9:57am
Mohd Shafie bersama Zulkiflee pada majlis penyerahan replika kunci bangunan AHLB Sekolah Kebangsaan
Mohd Shafie bersama Zulkiflee pada majlis penyerahan replika kunci bangunan AHLB Sekolah Kebangsaan

PETRONAS sedia asrama SK Balambangan Banggi

AHLB memberi sinar buat lebih 70 murid dari tiga kampung terutama dari Kampung Kok Simpul, Kampung Batu Sirih dan Kampung Selamat yang bersekolah di SK Balambangan Banggi terletak kira-kira 42 kilometer dari utara Kudat.

Asrama membabitkan kos kira-kira RM5 juta siap September lalu, menempatkan dua blok asrama murid lelaki dan perempuan dilengkapi katil dan almari. Ia komitmen berterusan PETRONAS bagi pembangunan modal insan di Sabah.

PETRONAS sentiasa menyokong usaha pembangunan modal insan yang memberi manfaat kepada lebih 6,000 pelajar di Sabah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata PETRONAS sedia maklum rintangan dihadapi murid yang tinggal jauh dari sekolah dan kurang pengangkutan seperti bot.

“Kami berharap, projek ini dapat menyelesaikan cabaran dihadapi pelajar untuk hadir secara konsisten setiap hari.

“Pembinaan asrama dilengkapi dengan dewan makan, surau dan tandas ini berupaya menampung 120 murid iaitu 60 murid lelaki, dan 60 murid perempuan,” katanya pada majlis penyerahan AHLB SK Balambangan Banggi.

Pembinaan asrama ini bermula pada Mac 2018 oleh KLCC Projeks Services Sdn Bhd bersama konsultan dan kontraktor dari Sabah.

Asrama ini satu daripada dua projek infrastruktur dibangunkan bagi meningkatkan akses pendidikan di Sabah.

Satu lagi infrastruktur adalah pembinaan Maktab Rendah Sains MARA di Ranau, dijangka beroperasi penuh pada 2022.

Di Sarawak, PETRONAS turut membangunkan AHLB di SK Orang Kaya Muda Pekeri di Paloh, Sibu dan MRSM Bintulu demi pembangunan pendidikan.

Terdahulu, majlis perasmian itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie berkata, kerajaan Sabah mengalu-alukan sumbangan PETRONAS membantu masyarakat di luar bandar mendapat akses pendidikan lebih baik.

“Ini amalan baik, apabila sebuah syarikat itu keuntungannya disalurkan kepada tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk dapat membantu masyarakat khususnya yang agak jauh ketinggalan,” kata Shafie.

Yang turut hadir, Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Datuk Raiha Azni Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Murid Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia Faridah Yang Razali.

Sementara itu, Raiha Azni berkata, pemilihan SK Balambangan Banggi untuk pembinaan AHLB adalah hasil perbincangan antara Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan PETRONAS.

Berita Harian X