Khamis, 31 Oktober 2019 | 8:02pm

Jangan terpedaya janji kosong pembangkang - Tun M

PONTIAN: Tun Dr Mahathir Mohamad mahu pengundi di Tanjung Piai bijak membuat pilihan dan tidak terpedaya dengan janji pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, hanya parti kerajaan yang mampu memberikan kemudahan dan manfaat sepenuhnya kepada rakyat di kawasan itu.

“Rakyat perlu bijak memilih sebab PRK kali ini bukan untuk kita tukar kerajaan. Siapa pun yang menang, PH masih lagi kerajaan. Perkara yang berlaku sekarang adalah janji ditaburkan.

“Pembangkang tidak ada kuasa, hanya calon PH yang boleh tunaikan janji. Dalam PRK seperti ini, janji tidak ada makna jika dibuat oleh pembangkang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bin Chong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU, turut memberi jaminan kerajaan akan menunaikan janji bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Allahyarham Datuk Md Farid Md Rafik, selain membela nasib penduduk Tanjung Piai secara berterusan.

“Kita akan terus tunaikan segala janji Allahyarham (untuk menyediakan kemudahan) dari segi infrastruktur, dari membina jambatan dan jeti hinggalah membaiki jalan.

“Kerajaan juga serius untuk mengurangkan jurang pendapatan antara golongan luar bandar dan bandar supaya supaya kemakmuran negara dinikmati bersama,” katanya.

Perdana Menteri juga percaya dengan kredibiliti calon PH bagi PRK Tanjung Piai, Karmaine Sardini, 66, dan yakin beliau akan mendapat sokongan rakyat.

“Saya yakin Karmaine seorang calon yang baik dan mampu menunaikan janjinya. Beliau seorang calon yang amat dikenali di kawasan ini dan khidmatnya nanti akan mendapat sokongan penuh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sudah merangka pelbagai cara untuk mengurangkan jurang pendapatan rakyat, sama ada di bandar atau luar bandar menerusi pelbagai agensi terutama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Di luar bandar, bidang pertanian adalah perkara yang kita lihat mempunyai peluang untuk dimajukan dan ia boleh dibuat dengan kaedah pertanian moden. Jika kekal dengan cara lama, petani atau pekebun tidak akan kaya.

“Kita lebih gemar sediakan peluang untuk rakyat luar bandar menjana pendapatan berterusan, berbanding beri duit seperti kerajaan lama. Itu adalah sogokan tanpa menyelesaikan isu ekonomi secara terancang,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahrudin Jamal (tiga dari kiri), Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga dari kanan) ketika majlis Pemimpin Bertemu Rakyat di SJKC Bin Chong, Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diiringi Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahrudin Jamal (tiga dari kiri), Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga dari kanan) ketika majlis Pemimpin Bertemu Rakyat di SJKC Bin Chong, Pontian. - Foto Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X