X
Khamis, 31 Oktober 2019 | 3:34pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail hadir pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail hadir pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

Jumlah caruman iSuri boleh 'dibincang'

KUALA LUMPUR: Skim Caruman Sukarela Insentif Suri (iSuri) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah dua peratus daripada suami kepada isteri adalah antara yang mencuri perhatian pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 ditanya mengenai agihan sumbangan bagi suami yang memiliki lebih seorang isteri.

“Secara peribadi saya berpendapat, sepatutnya isteri pertama lebih diutamakan. Tetapi perkara itu boleh dibincangkan.

“Bagaimanapun, jika sudah boleh berkahwin empat, ini bermakna suami boleh memberi dua peratus kepada setiap isterinya,” katanya ketika menjawab pertanyaan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai mekanisme pembayaran ditetapkan kerajaan bagi suami yang berpoligami.

Tidak berpuas hati dengan jawapan Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat itu, Noraini sekali lagi bangun bertanya.

“Maksudnya jumlah itu boleh ditetapkan kemudian? Jika semua isteri mendapat dua peratus, ini bermakna suami menyumbang lapan peratus kepada empat isterinya.

“Saya bertanya bagi pihak rakan yang berkahwin lebih dari seorang. Speaker tak termasuk dalam hal ini,” katanya yang merujuk kepada Timbalan Dewan Rakyat, Nga Kor Ming yang terdahulu mencelah, “kahwin satu cukup”.

Beberapa wakil pembangkang lain termasuk Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) turut kelihatan bangun untuk cuba bertanyakan soalan, tetapi tidak diberikan laluan oleh Dr Wan Azizah.

Terdahulu, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan memberi beberapa insentif dalam usaha menggalakkan wanita yang berkahwin kembali bekerja.

Antaranya termasuk penambahan peruntukan kepada RM30 juta bagi membangunkan Taska dan meningkatkan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari.

Beliau berkata, menyedari kebanyakan pasangan berkahwin menghadapi masalah kewangan, kementerian menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) membangunkan model bagi membantu mereka.

“Modul praperkahwinan dalam talian iaitu “I Do Yo Do, Duit Together” itu bermula bulan lalu.

“Ia bertujuan membantu pasangan yang akan berkahwin memahami pengurusan kewangan berdasarkan pendapatan selepas berkahwin kelak,” katanya.

Berita Harian X