Khamis, 31 Oktober 2019 | 2:34pm

Tiada kad pengenalan diberi kepada warga asing di Terminal Bas Kukup

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini menegaskan bahawa tiada kad pengenalan diberikan kepada warga asing seperti yang disebarkan pada Program Hari Bertemu Pelanggan JPN Negeri Johor di Terminal Bas Kukup pada 29 Oktober lalu.

Menyifatkan penularan gambar dan video melalui akaun Facebook ‘Ops Johor’ berniat jahat untuk memburukkan imej kerajaan, JPN dalam kenyataan menjelaskan ia adalah program rutin yang dianjurkan oleh JPN negeri bagi memberikan khidmat nasihat berkaitan hal pendaftaran kepada masyarakat setempat.

Menurut JPN, urusan yang dijalankan semasa program itu membabitkan permohonan MyKad kali pertama dan gantian, cabutan sijil kelahiran dan kematian serta khidmat nasihat mengenai isu kewarganegaraan.

“Tiada perkhidmatan pemberian kad pengenalan percuma seperti didakwa semasa program itu. Program itu juga memberi peluang kepada penduduk kawasan untuk berurusan tanpa perlu hadir ke pejabat JPN,” katanya.

Menurut JPN, proses permohonan MyPR (merah) kepada MyKad (biru) hanya boleh dibuat di pejabat JPN di mana pemohon perlu memenuhi syarat ditetapkan, dan pertimbangan bagi permohonan itu pula akan dibawa ke peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk kelulusan.

“Orang ramai digesa agar menghentikan penyebaran maklumat yang tidak benar bagi mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan awam,” menurut JPN, serta menambah tindakan undang-undang akan diambil terhadap penyebar maklumat palsu. - BERNAMA

Berita Harian X