Khamis, 31 Oktober 2019 | 11:20am
Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

PPK wajib patuhi prosedur agihan baja subsidi

KUALA LUMPUR: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) memandang serius dakwaan kegiatan menjual baja subsidi oleh petani kepada pihak luar seperti didedahkan Berita Harian (BH) pada 27 Oktober lalu.

Dalam kenyataannya, LPP berkata, pihak berkaitan perlu membuat laporan rasmi berhubung kegiatan itu supaya siasatan dapat dijalankan, sekali gus tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Penjualan mahu pun pembelian baja bantuan kerajaan ini adalah dilarang sama sekali. LPP memandang serius laporan perbuatan itu dan laporan rasmi perlu dibuat pihak berkaitan agar perkara ini dapat disiasat dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa bagi memastikan tiada ketirisan yang berlaku.

“Baja subsidi atau Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) adalah bantuan yang diberi oleh kerajaan kepada penanam padi.

Ia bertujuan meringankan kos yang ditanggung pesawah dalam penanaman padi dan dalam masa yang sama memastikan kelestarian pengeluaran padi dan beras negara,” katanya.

Dari sudut pengurusan SBPKP pula, menurut kenyataan itu, LPP sebagai agensi pelaksana sentiasa memantau kesemua 198 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang berperanan sebagai pengedar baja subsidi agar mematuhi manual pelaksanaan atau pun prosedur operasi standard (SOP) SBPKP.

Katanya, sistem kerja di lapangan juga sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa agar kelemahan yang ditemui dapat diperbaiki.

“Penambahbaikan dilakukan bagi memastikan tiada ketirisan berlaku di lapangan. Sekiranya berlaku ketidakpatuhan kepada peraturan dan SOP terbabit, tindakan undang-undang yang sewajarnya akan dikenakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Pada 27 Oktober lalu, BH mendedahkan ada pekedai meraih keuntungan sehingga RM25 bagi sekampit baja subsidi seberat 20 kilogram (kg) yang dibeli daripada petani.

Keuntungan itu diperoleh pekedai selepas menjualnya semula pada harga RM30 sekampit, sedangkan ia dibeli daripada petani pada harga serendah RM5.

Difahamkan, ada pekedai melantik ejen untuk menjadi orang tengah di antara pekedai menjual barang keperluan pertanian dengan petani, yang memperoleh subsidi baja daripada kerajaan.

BH difahamkan, ada dua jenis ejen, iaitu pertama yang bekerja sepenuh masa dan kedua, menjadi ejen separuh masa.

Seorang ejen separuh masa yang ditemui BH berkata, sikap petani itu sendiri membuka ruang dan peluang kepada pihak luar membeli baja berkenaan.

Katanya, baja subsidi yang selalu dibeli ejen adalah lebihan yang tidak lagi digunakan petani.

Ejen yang berusia dalam lingkungan awal 30-an itu mendedahkan, ejen akan bergerak ke kampung tertentu untuk membeli subsidi baja daripada petani, selepas mereka selesai musim membaja.

Berita Harian X