Rabu, 30 Oktober 2019 | 8:20pm

Nasib pekerja Utusan cetus pertikaman lidah

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mahu membela nasib pekerja Utusan Melayu (Malaysia) Bhd mencetuskan ‘pertikaman lidah’ dengan beberapa wakil pembangkang dalam persidangan Dewan Rakyat, malam ini.

Beliau yang mempersoalkan tiadanya wakil pembangkang menyuarakan masalah berkenaan sejak persidangan berlangsung, dikecam beberapa Ahli Parlimen pembangkang berikutan dakwaan itu.

“Saya lihat sejak Dewan Rakyat bersidang, tidak ada wakil rakyat dari sana yang bersuara kepada masalah dihadapi pekerja Utusan ini.

“Sedangkan Utusan Malaysia adalah lidah utama kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO satu ketika dulu,” katanya yang mencelah ketika Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2020.

Kenyataan beliau menyebabkan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan bangkit menangkis dakwaan itu.

“Saya juga prihatin sebagaimana Yang Berhormat Jelutong, tetapi akaun UMNO dibekukan. Kami tidak dapat membantu,” katanya.

Suasana menjadi kecoh apabila Rayer menyebut beberapa kali bahawa wakil pembangkang yang didakwanya tidak membela nasib pekerja Utusan Malaysia sehingga mereka yang disebut bangkit bersuara hampir serentak.

“Pontian tidak bela, Tanjung Karang tidak bela, Paya Besar pun tidak bela,” katanya.

Susulan itu, Mohd Shahar Abdullah (BN – Paya Besar) bangun menangkis dakwaan iu dengan mengatakan mereka sudah berbuat demikian, manakala Ahmad pula menyatakan apa yang dilakukan pembangkang tidak diceritakan kepada semua orang.

Keadaan yang hampir tidak terkawal itu memaksa Timbalan Speaker, Nga Kor Ming meminta Rayer meneruskan soalannya kepada menteri.

Bagaimanapun, Rayer sekali lagi mencetuskan provokasi dengan bertanyakan sekiranya kerajaan boleh merampas aset pemimpin UMNO yang rasuah bagi membayar gaji pekerja terbabit menyebabkan Ahmad bangun membidas menyatakan ia tidak perlu dilakukan kerana semua aset parti itu sudah dibekukan.

Sementara itu, Kulasegaran yang ditanya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mengenai tindakan kerajaan membantu wartawan Utusan memberitahu kementerian belum mendapat sebarang perkembangan terkini mengenainya.

Berita Harian X